This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Pembinaan pangsapuri Seksyen 5 disambung semula

14/05/2004 Berita Harian

SERI KEMBANGAN: Pembinaan bangunan komersial tiga tingkat dan pangsapuri 20 tingkat di Seksyen 5, Serdang Perdana, di sini yang terbengkalai sejak tiga tahun lalu akan disambung semula.


Ahli Parlimen Serdang, Datuk Yap Pian Hon, berkata semua kerja pembinaan dan membaik pulih bangunan berkenaan akan dikendalikan oleh pemaju yang sama, Green Cresent Resources Sdn Bhd (GCR).


"Projek ini perlu disiapkan segera kerana pembeli yang menjadi mangsa menanggung kerugian. Mereka tidak dapat mendudukinya, tetapi terus membayar wang ansuran termasuk kadar faedah bank," katanya selepas lawatan ke tapak projek bangunan komersial itu, kelmarin.


Yap berkata, untuk memastikan projek itu dilaksanakan semula, Pengurusan Danaharta Nasional Berhad (Danaharta) melantik Prinsiptek Corporation Berhad sebagai kontraktor yang bertanggungjawab menyelesaikan pembinaan yang terbengkalai itu.


Pengarah Eksekutif Prinsiptek, Foo Chu Pak, berkata pihaknya akan menyiapkan baki bangunan yang terbengkalai serta membina rumah kos rendah yang belum dibina pemaju.


"Projek itu membabitkan pembinaan kedai dan pangsapuri kos sederhana di mana proses pembinaan kedua-dua bangunan itu di peringkat 90 dan 30 peratus," katanya.


Foo berkata, secara keseluruhan kerja pembinaan projek dibahagikan kepada tiga peringkat di mana peringkat pertama membabitkan kerja baik pulih kedai pangsapuri yang dijangka siap sepenuhnya akhir September tahun depan.


"Pangsapuri kos sederhana dijangka siap pada Mac 2006, manakala projek rumah kos rendah akan siap pada Mac 2007," katanya.


Keseluruhan projek itu membabitkan 1,575 unit yang mana 857 unit adalah kedai apartmen dan selebihnya iaitu dua pangsapuri kos sederhana, masing-masing membabitkan 192 unit dan 320 unit.


Kerja pembangunan projek dimulakan pada akhir 1998, namun terbengkalai dari November 2001 sehingga kini disebabkan pemaju mengalami masalah dalaman.


Justeru, Danaharta mengambil alih pinjaman tidak berbayar dan melantik pentadbir khas pada 1 April 2002.


Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Kembangan, Datuk Liew Yuen Keong, berkata projek itu perlu disiapkan segera kerana pembeli sudah membayar wang pendahuluan serta menandatangani surat perjanjian jual beli (S&P).

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.