This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Pemaju diminta siapkan rumah sebelum 30 Julai
05/05/2004 Berita Harian

PUCHONG: Ahli Parlimen Puchong, Lau Yeng Peng, meminta pemaju Max Benefit Sdn Bhd (Max-Benefit) mematuhi perjanjian dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan pembeli untuk menyiapkan Pangsapuri Taman Puchong Intan sebelum 30 Julai ini.

Lau berkata, pangsapuri itu mesti disiapkan dalam tempoh berkenaan berdasarkan spesifikasi yang ditentukan dalam perjanjian jual beli.

"Paling penting, pemaju bersetuju mengadakan pertemuan sebulan sekali dengan pembeli supaya mereka dapat meninjau dan melihat perkembangan pembinaan.

"Janji mesti dipatuhi untuk kepentingan pembeli kerana ada sebahagian pembeli mengeluarkan simpanan seumur hidup untuk membeli pangsapuri berkenaan," katanya selepas pertemuan dengan Persatuan Penduduk Intan Apartment Puchong Intan (PPIAPI). Turut hadir Pengerusi PPIAPI, Shaharudin Mat.

Lau berkata, pemaju sudah menyambung kerja pembinaan pangsapuri itu seminggu lalu dan berharap diteruskan sehingga selesai.

"Mereka sudah memberikan jadual kerja menyiapkan pangsapuri dan kita akan terus memantau pembinaannya. Walaupun janji mulut, kita akan mengambil tindakan tegas jika pemaju tidak menepatinya," katanya.

Sementara itu, Shaharudin berkata, blok A Pangsapuri Taman Puchong Intan mula dijual pada 1999 dan diikuti blok B pada 2000, manakala blok C belum dilancarkan lagi.

"Ikut perjanjian kedua-dua pihak, blok A sepatutnya disiapkan pada 2002 kerana anggaran perjanjian ialah 36 bulan bermula tarikh ia dimeterai.

"Bagaimanapun, kami dapati pangsapuri itu belum siap pada September 2002 dan bila kami hubungi pemaju, mereka berjanji menyiapkannya akhir 2002," katanya.

Beliau berkata, pemaju masih gagal menyiapkan pangsapuri dalam tempoh berkenaan, sebaliknya sekali berjanji menyelesaikan pembinaannya akhir 2003.

"Apabila pemaju gagal menepati janji kedua, pembeli menulis surat kepada KPKT dan saya diberitahu kementerian menghantar surat tunjuk sebab kepada pemaju berkenaan.

"Kali ini, pemaju berjanji dengan KPKT untuk menyiapkan pangsapuri sebelum 30 Julai dan Ahli Parlimen Puchong turut bertemu dengan pemaju untuk memastikan janji ditepati," katanya. Shaharuddin mengharapkan pembeli Pangsapuri Taman Puchong Intan menghubunginya di talian 012-6616751 untuk maklumat lanjut.

Tinjauan Berita Harian mendapati hanya Lau yang dibenarkan masuk, manakala pembeli lain berada di luar pagar.

Dalam perkembangan sama, beberapa pembeli berharap pemaju tidak menangguhkan lagi pembinaan pangsapuri itu.

Kakitangan Proton Edar, Amini Amat, 30, berkata beliau tidak sabar untuk menduduki pangsapuri berkenaan selepas menyewa rumah sejak enam tahun lalu.

"Saya harap pemaju bersungguh-sungguh menunaikan janji untuk kepentingan pembeli," katanya.

Juruteknik syarikat swasta, Mohd Rizal Said, 29, mengharapkan tindakan persatuan dengan pemantauan KPKT dan Ahli Parlimen Puchong berjaya sehingga pangsapuri berkenaan selesai dibina.

"Kalau tidak siap, saya minta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo turut campur tangan," katanya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.