This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

HBA syor hotline didik pembeli rumah
BeritaHarian 17/5/2004

KUALA LUMPUR: Persatuan Pembeli Rumah (HBA) mencadangkan kerajaan mewujudkan talian hotline dan unit kaunseling bagi mendidik pembeli rumah mengenai pengurusan kewangan mereka.

Setiausaha Agungnya, Chang Kim Loong, berkata mereka yang berhasrat membeli hartanah khasnya Rumah Kos Rendah perlu mengenal pasti latar belakang kewangan sendiri dan beban yang bakal ditanggung.

Beliau berkata, isu pengurusan kewangan dan pendidikan tidak boleh diketepikan sejajar keputusan kerajaan membenarkan isi rumah berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri.

"Mereka perlu merancang belanjawan selepas pembayaran deposit ada kos lain yang perlu ditanggung seperti duti setem dan yuran guaman.

"Kami mencadangkan kerajaan mewujudkan program pendidikan pemilikan rumah untuk meningkatkan pengetahuan kewangan isi rumah berpendapatan sederhana rendah supaya mereka bersiap sedia terhadap tanggungjawab sebagai pembeli rumah.

"Ini kerana ada ramai pembeli yang tidak sedar tanggungjawab sendiri selepas membeli rumah.

"Ada yang mengharapkan kerajaan membayar segala-gala kos seperti bayaran penyelenggaraan dan ada pula tidak melakukan khidmat masyarakat serta menjaga kemudahan awam," katanya ketika dihubungi kelmarin.

Khamis lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, berkata pendapatan isi rumah RM1,500 sebulan sebagai syarat layak membeli rumah kos rendah dikekalkan sehingga satu kajian pakar dilaksanakan bagi mengkaji semula kelayakan itu.

Beliau berkata, kajian itu akan mengambil kira beberapa faktor, termasuk jumlah tanggungan pemohon, Indeks Harga Pengguna (CPI) dan kos hidup.

Chang berkata, program pendidikan itu boleh diwujudkan dalam bentuk risalah atau buku kecil, nasihat dan maklumat melalui telefon, bengkel atau kaunseling secara bersemuka.

Beliau berkata, perkhidmatan itu perlu disediakan sebelum pembeli rumah berpotensi menandatangani perjanjian jual beli (S&P) manakala kaunseling pula bertujuan membantu pembeli menguruskan kewangan dan mengelakkan mereka daripada kehilangan rumah.

Katanya, program pendidikan boleh dibahagi kepada dua kategori iaitu sebelum dan selepas pembelian rumah.

"Pendidikan pra pembelian boleh meliputi memahami proses pembelian, pinjaman dan jenis rumah serta menilai keperluan isi rumah dan persediaan kewangan.

"Pendidikan pasca pembelian pula terdiri daripada aspek merancang
perbelanjaan bulanan, membuat bayaran secara tetap, mengelakkan kegagalan permohonan pinjaman, kehidupan dalam komuniti, tanggungjawab sosial, bayaran yang bakal menyusuli dan cara menangani masalah hartanah," katanya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.