This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Pembeli minta bantuan atasi rumah terbengkalai
12/04/2004 Berita Harian

GEORGETOWN: Jawatankuasa Bertindak Pembeli Projek Perumahan Sri Bayu, Bayan Lepas yang terbengkalai kira-kira 10 tahun, akan menghantar memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk memohon bantuan bagi menyelesaikan masalah berkenaan.


Pengerusinya, Mat Pozian Rashid, berkata memorandum itu akan diserahkan sendiri kepada Perdana Menteri dalam tempoh terdekat ini sebagai usaha terakhir kerana pembeli tidak sanggup lagi menanggung beban bayaran balik pinjaman, selain terpaksa menyewa di rumah lain.


"Kami pernah menghantar surat kepada Perdana Menteri pada 19 Januari tahun ini. Kali ini kami nak hantar sendiri bagi menceritakan masalah yang dihadapi," katanya selepas majlis perjumpaan pembeli projek perumahan Sri Bayu di Dewan Budaya, Kampung Seronok, di sini, kelmarin.


Perjumpaan itu menemukan kira-kira 730 pembeli dengan Exco Perumahan negeri, Syed Amerruddin Syed Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bayan Lepas.


Projek pembinaan 234 unit rumah kos rendah dan 496 unit kos sederhana di Sri Bayu itu dimulakan pada 1994. Namun, selepas pemaju projek bertukar beberapa kali, pembeli masih belum dapat mendiami rumah mereka.


Harga rumah bagi unit rumah kos rendah ialah RM25,000 manakala kos sederhana RM49,000.


Pembeli menandatangani perjanjian jual beli dengan pemaju Duniaga Sdn Bhd, Jawatankuasa Pemandu Sdn Bhd OKPSB dan Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) pada November 1994. Dalam perjanjian itu, tarikh jangka siap projek ialah 36 bulan dari tarikh perjanjian jual beli.


Sementara itu, Syed Amerruddin berkata, beliau sudah mendapatkan laporan mengenai projek terbengkalai berkenaan daripada JKPSB dan kemudiannya menyerahkan kepada Penasihat Undang-undang Negeri, Rabu lalu.


Katanya, beliau akan berjumpa Penasihat Undang-undang Negeri hari ini (Isnin) bagi mengetahui tindakan selanjutnya yang perlu diambil.


"Saya juga sudah bertemu Ketua Polis Negara dan beliau menyarankan pembeli membuat aduan sekiranya ada sebarang penyelewengan dari segi pembayaran dalam projek itu," katanya.
 

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.