Pangsapuri ada meter air individu  
      Berita Harian 10/4/2005 
       
      SHAH ALAM: Setiap unit pangsapuri di sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan 
      Putrajaya dijangka dilengkapi meter individu bagi mengelak bekalan air  
      dipotong akibat kegagalan pengurusan bangunan menjelaskan bil air.
      Pengerusi Eksekutif Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), 
      Tan Sri Rozali Ismail, berkata Syabas menerima banyak aduan penghuni 
      pangsapuri yang tidak berpuas hati kerana terpaksa berhadapan dengan 
      pemotongan bekalan air walaupun mereka sudah menjelaskan bil air kepada 
      pengurusan bangunan. 
      Beliau berkata, masalah itu berlaku apabila pangsapuri 
      terbabit dilengkapi meter pukal dan pengurusan bangunan tidak membuat 
      pembayaran berikutan ada penghuni yang tidak menjelaskan bil air. 
      "Kita kini menjalankan kajian berhubung perkara ini, 
      termasuk meneliti peruntukan undang-undang berkaitan, terutama perjanjian 
      jual beli pembeli dan pemaju sama ada kita boleh beri meter individu 
      kepada penghuni. 
      "Walaupun faham masalah penghuni pangsapuri ini, kita 
      tidak boleh bertindak tergesa-gesa kerana perkara ini membabitkan 
      undang-undang dan kementerian," katanya. 
      Beliau berkata, kajian dijangka selesai bulan ini dan 
      Syabas akan mengemukakan cadangan lanjut kepada kerajaan bulan depan. 
      Beliau memberitahu pemberita demikian selepas memberi 
      taklimat penswastaan perkhidmatan bekalan air bagi Selangor, Kuala Lumpur 
      dan Putrajaya kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), Ahli 
      Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Ahli Parlimen Selangor di sini, semalam. 
      Taklimat juga dihadiri Yang Dipertua pihak berkuasa 
      tempatan (PBT) dan pegawai daerah seluruh Selangor. 
      Rozali berkata, setakat ini pihaknya mendapat permintaan 
      itu daripada penghuni pangsapuri sekitar Putrajaya dan Cheras. 
      Sementara itu, beliau memberi jaminan Syabas tidak akan 
      memotong bekalan air di kawasan setinggan yang sudah mendapat kelulusan 
      kerajaan negeri untuk dipindahkan dalam tempoh terdekat. 
      Bagaimanapun, katanya, Syabas akan memotong bekalan air 
      di kawasan setinggan yang tidak termasuk dalam skim perpindahan dan 
      menggunakan air secara haram selepas 18 April ini. 
      Sehubungan itu, beliau meminta penduduk setinggan atau 
      pengguna yang belum berdaftar dengan Syabas berbuat demikian bagi 
      memastikan mereka terus mendapat bekalan air secara sah. 
      Difahamkan, ketika ini kira-kira 50,000 kes kecurian air 
      membabitkan pengubahsuaian meter dan sambungan paip air haram dikenal 
      pasti di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.  |