This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

HBA syor rumah dijual secara sewa beli
Berita Harian 14/4/2004

KUALA LUMPUR: Persatuan Pembeli Rumah Wilayah Persekutuan dan Selangor (HBA) menyarankan kerajaan Negeri itu menjual rumah kos rendah (RKR) kepada golongan berpendapat rendah secara sewa beli.

Setiausaha Agungnya, Chang Kim Loong, berkata cara itu bukan saja mengatasi masalah banyak rumah kos rendah di Selangor tidak terjual tetapi boleh membantu negara mencapai matlamat negara satu keluarga satu rumah.

Sambil menyifatkan cadangan kerajaan Selangor menawarkan pemilikan rumah kepada semua golongan tidak masuk akal, Chang berkata, kerajaan juga perlu menetapkan hanya mereka pendapatan isi rumah antara RM2,000 hingga RM2,500 sebulan dibenarkan membeli rumah berkenaan.

"Kerajaan negeri juga perlu bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi menangani isu RKR itu. Cadangan Selangor membenarkan golongan berpendapatan tinggi membeli RKS adalah salah," katanya.

Beliau mengulas hasrat kerajaan Selangor membuka pemilikan rumah kos rendah kepada semua golongan termasuk mereka berpendapatan tinggi berikutan lebihan 100,000 rumah murah.

Dalam program Sistem Pendaftaran Terbuka itu, semua golongan diberi peluang membeli sehingga dua RKR bagi tujuan menduduki atau menyewa kepada mereka yang belum berhasrat membeli rumah.

Pendaftaran terbuka itu diumumkan melalui akhbar 4 Mei ini dan mereka yang berminat boleh mendaftar nama setiap lokasi pilihan untuk ditawarkan RKR.

Sebelum ini, antara syarat memiliki RKR di Selangor ialah berpendapatan isi rumah tidak melebihi RM2,000 dan sudah berkahwin.

Chang berkata, pihak berkuasa juga perlu lebih telus menentukan mereka yang layak membeli rumah itu untuk mengelak golongan berpendapatan rendah terus tertindas.

"Kita banyak menerima aduan kononnya sesiapa berminat untuk membeli rumah kos rendah boleh berurusan dengan 'orang tengah' yang memperoleh keuntungan berlipat kali ganda," katanya.

Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) pula berpendapat, lambakan RKR di Selangor yang tidak terjual termasuk 2,504 unit rumah di Tanjung Dua Belas, Kuala Langat mungkin disebabkan kecenderungan rakyat membeli rumah kos sederhana.

Presidennya, Datuk Eddy Chen Lok Lai, berkata pendapatan rakyat di negara ini semakin meningkat, dan keperluan memiliki kediaman selesa amat diperlukan.

"Kita melihat lambakan rumah Selangor itu juga adalah disebabkan hasrat kerajaan negeri memenuhi kuota bagi projek RKS rumah kos rendah untuk membolehkan rakyat memiliki rumah sendiri," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Eddy berkata, jika permintaan memiliki rumah kos rendah kurang mendapat sambutan, kerajaan seharusnya mengurangkan kuota projek perumahan bagi kategori itu.

"Menerusi cara itu, kita berharap pemaju dapat mengurangkan harga rumah supaya pembeli mampu membeli rumah pada harga lebih murah dan pemaju pula dapat menjimatkan wang kerana mereka tidak perlu lagi membina rumah kos rendah," katanya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.