This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

CF: Pemaju dikesan tipu pembeli guna Borang E
BERITA HARIAN 26/04/2004

KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengesan taktik pemaju perumahan memperdayakan pembeli dengan mengemukakan `Borang E' untuk mendapatkan sijil layak menduduki (CF) daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), sedangkan projek berkenaan belum siap sepenuhnya.

Menterinya, Datuk Seri Ong Ka Ting, berkata taktik itu dikesan hasil siasatan terhadap aduan beberapa pembeli yang tidak berpuas hati dengan keadaan rumah selepas menerima kunci.

"Bila disemak dengan PBT, ada orang sudah mengeluarkan pengesahan penerimaan (Borang E)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung ke-27 Persatuan Peniaga Emas dan Permata Malaysia di sini, semalam.

Sehubungan itu, Ong mengarahkan semua PBT supaya menyemak secara teliti `Borang E' yang dikemukakan pemaju untuk mendapatkan CF sebelum sebarang pengesahan penerimaan permohonan itu dibuat.

Katanya, PBT juga perlu mengeluarkan surat pengesahan penerimaan secara bertulis sebagai bukti bagi mengelak penyelewengan penyerahan kunci rumah.

"Saya mahu mengingatkan semua pihak berkuasa tempatan, bila terima Borang E, iaitu borang sijil layak menduduki, dia kena buat semakan.

Apabila memenuhi syarat yang ditetapkan, barulah surat pengesahan penerimaan secara bertulis dikeluarkan.

"Borang E diterima bermakna semua syarat sudah dipenuhi pemaju dan perlu mengeluarkan surat mengesahkan penerimaan supaya menjadi bukti penerimaan yang sah," katanya.

Ong berkata, hanya permohonan yang dibuat selepas projek perumahan disiapkan, boleh diterima pusat perkhidmatan setempat yang diwujudkan semua PBT sejak dua tahun lalu.

Pusat itu membolehkan pemaju membuat permohonan mendapatkan CF serta perkara lain yang berkaitan dalam satu kaunter yang sama bagi mempermudahkan proses permohonan dan mengurangkan masa menunggu.

Mengenai kelewatan pemaju menyiapkan rumah, beliau berkata, kementerian tidak akan menerima sebarang alasan lagi kerana pemaju sepatutnya sudah bersedia dari semua aspek termasuk pekerja dan kewangan bagi melaksanakan projek perumahan.

"Sudah banyak aduan diterima daripada pembeli. Selepas ini kami tidak akan terima apa-apa alasan lagi daripada pemaju.

"Pembeli juga perlu berhati-hati ketika membeli rumah. Kaji latar belakang pemaju dan pastikan mereka mempunyai lesen. Buat pilihan yang bijak," katanya.

Ong turut mengumumkan Majlis Daerah Kulai akan dinaikkan taraf kepada Majlis Perbandaran Kulai setelah permohonan daripada Kerajaan Johor diluluskan Kabinet pada mesyuaratnya Rabu lalu.

Beliau berkata, terserah kepada Kerajaan Johor untuk menetapkan tarikh perisytiharannya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.