This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

470 dakwa ditipu RM1 juta rumah dibeli tidak wujud

30/04/2004 Berita Harian

KUALA LUMPUR: Seramai 470 pembeli rumah pangsa kos rendah di Taman Danau Kota, Setapak, di sini mendakwa ditipu lebih RM1 juta, selepas mendapati kediaman yang dibeli mereka sebenarnya tidak wujud.


Pembeli terbabit mendakwa pemaju baru tidak mengiktiraf mereka sebagai pembeli walaupun wang pendahuluan sudah dibayar dan perjanjian jual dan beli (S&P) ditandatangani dengan pemaju asal pada tahun 2000.


Wakil kumpulan pembeli berkenaan, Lim Chuan Huat, berkata pihaknya akan mengadakan perjumpaan dengan pemaju baru, FOB Land (Setapak) Sdn Bhd dalam masa tiga minggu lagi untuk menyelesaikan masalah itu.


"Diharapkan ia akan dapat diselesaikan kerana ada di antara pembeli sudah mendiami penempatan sementara di rumah panjang sejak 10 tahun lalu," katanya.


Seorang lagi pembeli, Tan Seng Kee, 54, berkata masalah itu timbul apabila pemaju asal menyerahkan syarikatnya kepada pemaju baru berikutan pemaju asal sudah gulung tikar dan pengurusan yang baru pula enggan mengiktiraf S&P yang sudah ditandatangani.


"Kami adalah keluarga generasi kedua setinggan yang layak membeli rumah kos rendah berdasarkan bancian yang dilakukan Bahagian Kemajuan Wilayah Persekutuan dan Lembah Klang di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).


Kumpulan pembeli berkenaan kelmarin mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Yew Teong Look dan Pengerusi MCA bahagian Wangsa Maju, Datuk Ho Yoon Ping di Wisma MCA Wangsa Maju, di sini, untuk mengemukakan masalah mereka.


Projek rumah pangsa kos rendah yang ditawarkan pada harga RM25,000 seunit yang dibina sejak tahun 2000 itu sudah siap 90 peratus dan mengandungi lima blok bangunan dengan setiap blok setinggi 20 tingkat.


Yew berkata, pihaknya akan membantu pembeli mendapatkan rumah kerana kebanyakan mereka adalah golongan kurang berkemampuan.


"Pemaju tidak sepatutnya berbuat begitu kepada pembeli kerana mereka sudah membayar wang pendahuluan," katanya.


Sementara itu, Pengurus Kewangan dan Perundangan FOB Land (Setapak) Sdn Bhd (pemaju baru), Mohd Azim Daud, ketika dihubungi Berita Harian berkata, pihaknya mengakui dakwaan penduduk bahawa pemaju lama sudah menerima wang pendahuluan 470 pembeli itu.


"Pemaju lama ada menerima wang pendahuluan itu dan kekeliruan berlaku selepas pihak pengurusan bertukar tangan.


"Kami akan menyiasat dengan lebih terperinci masalah ini," katanya.


Mohd Azim berkata, pihaknya membina 1,900 unit rumah dan menjual kepada 1,253 pembeli dan ini bermakna unit yang masih belum terjual adalah 647.


"Unit yang belum dijual ini untuk setinggan generasi kedua. Kami hanya akan menawarkannya kepada setinggan ini selepas mendapat angka sebenar melalui bancian yang dilakukan oleh JPM," katanya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.