This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Penduduk minta pemaju serahkan laporan ujian pemendapan
Berita Harian 16/2/2004

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Persamaan Penduduk Pangsapuri Lembah Maju, Ampang meminta pemaju, arkitek dan jurutera perunding perumahan berkenaan menyerah laporan ujian pemendapan seperti dijanjikan kepada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Dalam surat bertarikh 10 Julai 2003 yang dihantar MPAJ kepada pihak terbabit, mereka sepatutnya mengemukakan laporan ujian pemendapan setiap sebulan selama enam bulan bermula agos 2003 sehingga Januari 2004 kepada pihak berkuasa berkenaan.

Penasihat Khas Ahli Parlimen Seputeh, Khong Chef Seng, berkata sehingga kini hanya satu laporan sudah dihantar kepada MPAJ dan ini menggusarkan penduduk mengenai keselamatan kediaman mereka.

"Penduduk bimbang keselamatan mereka terancam berikutan rumah mereka mengalami keretakan yang teruk," katanya.

Surat berkenaan adalah maklum balas atas keputusan perjumpaan wakil penduduk Blok D dengan arkitek projek perumahan berkenaan pada 8 Julai 2003 di mana MPAJ meminta tiga pihak terbabit mengemukakan laporan bertulis berdasarkan aduan pangsapuri retak di Blok D perumahan itu.

Mengikut surat itu MPAJ mengkehendaki pihak terbabit menyerahkan laporan ujian pemendapan yang ditandatangani oleh jurutera profesional bagi mengesahkan pihak berkenaan bertanggungjawab untuk menentukan bangunan itu selamat diduduki, sekali gus membolehkan kerja membaik pulih kerosakan dilakukan berdasar laporan itu.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Penduduk Lembah Maju, Cheng Ming Kheong, berkata penduduk sudah tidak sanggup lagi menunggu tindakan diambil berikutan bangunan itu sudah lama mengalami kerosakan.

"Kami sudah lama bersabar namun pihak bertanggungjawab seakan bermain tarik tali mengenai keselamatan kami sehingga memaksa kami mengeluarkan perbelanjaan sendiri menutup keretakan di hampir semua dinding kediaman kami.

"Janganlah tunggu tragedi seperti Highland Tower berulang lagi kerana kami hanya meminta pihak bertanggungjawab bersimpati dengan nasib dan keselamatan kami, lagipun kediaman itu kami beli dengan wang sendiri," katanya.

Sementara itu, Khong berkata beliau berharap tindakan segera diambil dengan semua terbabit berbincang bagi mengatasi masalah itu tanpa menuding jari pada sesiapa.

"Semua pihak termasuk penduduk, pemaju perumahan, jurutera dan arkitek yang dilantik pemaju serta MPAJ sendiri harus mengadakan mesyuarat dalam menyelesaikan masalah dengan keselamatan penduduk diambil kira terlebih dulu tanpa menyalahkan mana-mana pihak," katanya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.