This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Rumah tidak ikut pelan
Harian Metro 24/12/2004 Oleh Suhaila Ismail

 

SERI ISKANDAR: Lebih 300 pembeli rumah kos rendah di Desa Seri Iskandar, kecewa apabila rumah idaman mereka dibina tanpa mengikut pelan asal hingga mengabaikan aspek keselamatan penghuninya.

Apa yang lebih mengecewakan pembeli ialah rumah yang dibina dengan kos RM25,000 itu masih belum memperolehi Sijil Layak Menduduki (CF) sedangkan kunci rumah sudah diserahkan pada Mei, tahun lalu.

Pembeli, Mohd Jaafar Mohd Aris, 46, mendakwa projek pembinaan rumah kos rendah itu bermula pada 1997 dan siap dua tahun kemudiannya.

Katanya, mengikut dokumen perjanjian pembelian, projek itu dikendalikan Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT) yang kemudian melantik sebuah syarikat kontraktor tapak untuk menjalankan kerja pembinaan.

“Mengikut pelan asalnya, rumah ini sepatutnya mempunyai dua pintu untuk keluar masuk dan setiap rumah sepatutnya mempunyai ruang tepi.

“Bagaimanapun, pemaju bertindak menutup bahagian pintu dapur itu dan menyambungkannya dengan unit rumah lain sedangkan kedua-dua pembinaan bahagian ini tidak dinyatakan dalam pelan asal.

“Kami terpaksa mendiami rumah yang tidak selamat ini selepas menerima kuncinya, Mei tahun lalu walaupun masih belum mendapat Sijil Layak Menduduki (CF),” katanya di sini, semalam.

Katanya, pembeli juga mempersoalkan tindakan Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT) kerana melantik pemaju tapak membina projek perumahan yang bernilai jutaan ringgit itu.

Katanya, pembeli juga tidak berpuas hati apabila kerja pemasangan elektrik di rumah mereka dilakukan secara sambil lewa tanpa mengira aspek keselamatan penghuninya.

Pekerja kantin, Fatimah Bibi Talib, 44, mendakwa dia terpaksa menduduki rumahnya sejak setahun lalu walaupun menyedari rumah yang dibeli itu tidak mengikut pelan pembinaan asal.

Katanya, ketika ini, rumahnya hanya mempunyai satu pintu yang digunakan untuk keluar masuk.

“Sebaliknya bahagian dapur itu ditutup dan disambung dengan unit rumah lain hingga menyebabkan satu pintu dapat digunakan.

“Selain itu, pembinaan bahagian yang rendah dan terbuka menyebabkan rumah ini senang dimasuki pencuri. Saya sendiri kerugian lebih RM5,000 apabila rumah saya dimasuki pencuri dua bulan lalu,” katanya.

Ahmad Karsany Mohd Sayati, 35, pula mendakwa, dia sekeluarga bimbang dengan keselamatan mereka apabila rumah yang didiami tidak memiliki CF.

Sementara itu, penasihat undang-undang kepada pembeli, Iskandar Bakri Yusuf Al Bakri, berkata pihaknya sudah menghantar surat kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk menyiasat masalah berkenaan secara telus.

Katanya, beliau juga sudah mengemukakan masalah itu kepada Tribunal Tuntutan Pengguna (TTP) bahagian perumahan bagi memastikan pembeli mendapat pembelaan sewajarnya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.