This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Projek rumah 3 tahun terbengkalai
Harian Metro 13/12/2004

SERI KEMBANGAN: Projek perumahan Taman Serdang Perdana Seksyen 5, di sini yang terbengkalai sejak tiga tahun lalu menimbulkan tanda tanya pembeli, sama ada pembinaannya akan disambung oleh syarikat pemaju baru dan disiapkan sepenuhnya pada 2007.


Ahli Parlimen Serdang, Datuk Yap Pian Hon, berkata impian 1,575 pembeli unit kedai dan kediaman di projek berkenaan berkecai apabila rumah idaman tidak dapat diduduki pada masa dijadualkan sedangkan mereka terpaksa membayar ansuran bank.


Menurutnya, pada masa sama, pembeli juga menanggung kerugian apabila terpaksa membayar sewa rumah dan ansuran rumah yang dibeli di situ.


Katanya, pembinaan projek perumahan itu yang dimulakan pada 1998, dihentikan oleh syarikat pemaju asal empat tahun kemudian walaupun sudah 65 peratus disiapkan, dipercayai kerana masalah kewangan.


"Pemaju asal membina 1,708 unit lot kedai dan kediaman bertaraf apartmen berharga sekitar RM50,000 hingga RM60,000 dan rumah kos rendah (RKR) bernilai RM42,000.


"Tetapi dengan campurtangan Danaharta Nasional Bhd (Danaharta) selepas beberapa rundingan, projek ini disambung semula dan diambil alih oleh Temasya Jaya Sdn Bhd pada November 2002," katanya.


Yap berkata, sebelum pemaju baru dapat meneruskan kerja pembinaan, mereka terpaksa meninjau beberapa aspek kerana ada yang terpaksa diubah suai memandangkan projek itu sudah lama ditinggalkan.


"Menurut pemaju baru, ada sedikit pindaan perlu dilakukan sesuai dengan keperluan semasa dan proses itu mengambil masa selama beberapa bulan sebelum dapat menyambung kerja pembinaan.
"Mereka juga perlu menunggu kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) apabila menghantar cadangan baru berikutan pengubahsuaian itu," katanya.


Beliau berkata, kini kerja pembinaan sudah dimulakan dan pembeli berkenaan akan dapat memiliki kediaman itu tetapi secara berperingkat.


"Bagi peringkat pertama, sebanyak 143 lot kedai berharga lebih RM200,000 dan 857 kediaman bertaraf apartmen dijangka disiapkan pada September tahun depan.


"Kediaman bertaraf apartmen kos sederhana sebanyak 192 unit dan 320 apartmen perkhidmatan disiapkan pada Mac 2006, manakala 196 RKR dijangka siap pada 2007," katanya.


Bagaimanapun, menurut Yap, beliau difahamkan ketika kerja pembinaan itu dilakukan beberapa masalah teknikal wujud dan perlu kerjasama daripada agensi kerajaan untuk diselesaikan.


"Justeru, agensi berkaitan diminta membantu pemaju menyediakan pelbagai kemudahan kerana projek ini apabila siap kelak akan memberi keselesaan penduduk.


"Apabila kemudahan asas disediakan baru Sijil Layak Menduduki (CF) dapat dikeluarkan dan pembeli boleh menduduki kediaman berkenaan," katanya.


Yap berkata, kawasan Serdang sedang melalui proses pembangunan dan kes seperti ini hanya mencacatkan yang dirancang, sekal gus mendorong memastikan tiada projek terbengkalai lagi.


"Taman Serdang Perdana mempunyai enam seksyen, bagi Seksyen 1 dan Seksyen 2 sudah dibangunkan, Seksyen 3 sedang dibangunkan, manakala Seksyen 4 dan seksyen 6 belum dimajukan.


"Yang menjadi masalah ialah Seksyen 5, tidak lama lagi Seri Kembangan akan menjadi bandar kerana kedudukannya strategik antara pusat bandar dan Putrajaya," katanya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.