This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Kementerian Wilayah temui pemaju, wakil penduduk setinggan Danau Kota
Utusan Malaysia 13/12/2004

KUALA LUMPUR 12 Dis. - Kementerian Wilayah Persekutuan akan mengadakan pertemuan antara syarikat pemaju, FBO Bhd. dengan wakil penduduk setinggan Danau Kota bagi membincangkan isu rumah pangsa yang terbengkalai sejak tujuh tahun lalu.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Zulhasnan Rafique berkata, pertemuan itu dijangka akan diadakan minggu depan.

"Pihak Kementerian akan mengenal pasti masalah-masalah yang wujud sehingga menyebabkan projek tersebut terbengkalai serta memastikan pembinaan semula rumah pangsa itu dapat dijalankan dengan segera," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Surau Al-Falah Danau Kota di sini, hari ini.

Surau tersebut yang menelan kos berjumlah RM200,000 mampu menampung jemaah sebanyak 500 orang pada satu-satu masa.

Perumahan untuk penduduk setinggan di Danau Kota itu mengandungi lima blok rumah pangsa tertangguh sejak 1997 dan hanya satu blok sahaja berjaya disiapkan pada tahun 1999.

Menurut Zulhasnan, sehingga hari ini, sebanyak 565 keluarga di Kampung Pasir Wardieburn dan Rumah Panjang Danau Kota terpaksa tinggal di kawasan setinggan yang serba kekurangan akibat kegagalan pemaju tersebut.

Sementara itu, Pengerusi Penyelaras Pembangunan Setinggan Kampung Pasir Wardieburn, Mohd Liza Kudin berkata, pihaknya mengalu-alukan usaha kerajaan menyelesaikan masalah tersebut.

"Saya berharap pihak kerajaan akan dapat melaksanakan semua projek pembangunan yang sebelum ini terbengkalai demi kebaikan semua penduduk setinggan di Danau Kota," katanya.

Sementara itu, tarikh mesyuarat bagi mencapai penyelesaian masalah peniaga di Jalan Masjid India dan Jalan Melayu di sini ekoran penutupan jalan masuk ke Wisma Yakin dan operasi penjaja kecil-kecilan akan ditetapkan minggu depan.

Zulhasnan berkata, mesyuarat tersebut akan melibatkan Peniaga Wisma Yakin, para penjaja dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Para peniaga Wisma Yakin mahu struktur pembangunan diubahsuai bagi memudahkan operasi mereka dan pergerakan pelanggan.

"Kita mahu isu ini selesai secepat mungkin dengan adil dan akan menetapkan tarikh mesyuaratnya minggu depan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya
Aidilfitri UMNO Bahagian Bukit Bintang 2004 di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis, Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Abdul Azim Zabidi.

Akhbar hari ini melaporkan penjelasan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Mohd. Isa Samad, berkenaan usaha pihaknya mencari formula terbaik bagi menyelesaikan masalah peniaga sedia ada yang mengadu sukar menjalankan perniagaan ekoran penutupan jalan dan operasi penjaja kecil-kecilan.

Menurut beliau, perkara tersebut perlu difikirkan dengan mendalam untuk berlaku adil kepada kedua-dua pihak dan satu perbincangan akan diadakan dengan mereka apabila satu formula penyelesaian ditemui.

Zulhasnan berkata, DBKL akan dilibatkan dalam mesyuarat membuat keputusan bagi memudahkan usaha mengubah reka bentuk pembinaan untuk memastikan penyusunan lokasi-lokasi perniagaan adalah lebih teratur.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.