This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Formula strategik pulih projek terbengkalai
Berita Harian 5/11/2004 Oleh Mokhtar Alias

SEREMBAN: Kerajaan negeri berjaya memulihkan sebuah projek terbengkalai menerusi formula strategik yang menyaksikan 522 pemilik lot industri ringan di Nilai bersetuju membayar secara berkongsi sebanyak RM6.8 juta untuk memulihkan projek berkenaan.

Pelabuhan Darat Nilai terbengkalai sejak kira-kira enam tahun lalu ketika kerja sudah mencapai tahap 90 peratus.

Walaupun kos sepatutnya dibayar pemaju, ia tidak dapat dilakukan kerana syarikat berkenaan dalam proses penggulungan yang menyebabkan ia tidak dapat beroperasi.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata rundingan kerajaan negeri dengan jawatankuasa pemilik lot yang dilantik pihak mahkamah mencapai persetujuan bersama yang boleh menjadi kaedah penyelesaian projek terbengkalai pada masa depan.

Katanya, pada peringkat awal pihaknya dicadangkan melakukan proses pengambilalihan tetapi beliau tidak bersetuju kerana akan menanggung bebanan yang agak berat.

Satu cadangan dikemukakan bahawa kerajaan negeri bertindak menguruskan projek berkenaan dengan dana dibayar sendiri oleh pemilik sehingga mendapat sijil layak menduduki (CF).

"Dengan persetujuan kerajaan negeri untuk menguruskan sendiri pemulihan projek, mereka bersetuju dan sanggup membiayai kos sebanyak RM6.8 juta yang akan dikongsi sama rata antara mereka.

"Kita berharap projek pemulihan ini mencapai kejayaan kerana formula ini sangat menarik. Hanya sedikit projek belum disiapkan," katanya.

Beliau berkata, mesyuarat Exco kelmarin melantik Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Hamzah Ghazali,
mempengerusikan jawatankuasa pemulihan projek yang turut dianggotai Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-Undang negeri.

Kerajaan akan menggunakan kemudahan Tabung Infrastruktur sebagai dana amanah.

Beliau berkata, pemilik perlu melunaskan wang sebanyak RM6.8 juta itu sebelum kerajaan negeri boleh memulakan kerja menyiapkan projek berkenaan.

"Kita tidak akan menunggu masa lama untuk memulakan kerja. Dapat saja wang yang diberikan, semua kerja akan bermula segera.

"Saya fikir kita dapat menyiapkannya segera kerana hanya tinggal beberapa kerja asas seperti kemudahan infrastruktur dan memperbaiki kerosakan disebabkan ia sudah terbiar agak lama," katanya.

Lot industri ringan itu adalah sebahagian daripada komponen Pelabuhan Darat Nilai. Sebahagian lagi sudah dimajukan semula Gugusan Paremba Sdn Bhd selepas mengambilalihnya daripada Nilai Inland Port Sdn Bhd.

Mohamad berkata, apabila projek itu dapat dipulihkan kelak, ia dapat menghapuskan pemandangan yang menyakitkan mata di kawasan Nilai yang kini menjadi tumpuan ramai berikutan kejayaan Nilai 1 dan Nilai 3.

Katanya, pelabuhan darat sangat bererti bagi menjana pertumbuhan ekonomi kawasan berkenaan yang kedudukannya sangat berhampiran dengan pelabuhan dan lapangan terbang utama.
 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.