This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Tujuh pemaju setuju ubah status projek

BERITA HARIAN 05/10/2004

PUTRAJAYA: Tujuh pemaju projek `sakit' di ibu negara bersetuju meneruskan projek terbengkalai dengan mengubah status pembangunan komersial kepada kediaman bagi memulihkan projek usang di Kuala Lumpur.

Komitmen tujuh pemaju projek itu dinyatakan kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Mohd Isa Samad di sini semalam yang merangkumi sebahagian daripada 28 syarikat yang gagal meneruskan projek pembangunan akibat kegawatan ekonomi pada 1997.

Mohd Isa berkata, pemaju sedia meneruskan projek berikutan ekonomi negara bertambah baik walaupun perlu membuat pengubahsuaian pada status dan skop projek.

"Pemaju sedia meneruskan projek pembangunan selepas pelbagai masalah terutama pembiayaan diatasi.

"Ada antara pemaju sedia menukar status daripada komersial kepada kediaman. Malah ada pemaju hotel mengubah skop projek selepas mengatasi semua masalah sebelum ini," katanya kepada pemberita di pejabatnya, semalam.

Terdahulu, Mohd Isa menemui wakil 26 syarikat bermasalah bagi mendengar penjelasan serta menilai pelan pembangunan baru yang dirancang syarikat terbabit selepas hampir lapan tahun projek terbengkalai.

Bagaimanapun, dua syarikat yang masing-masing mahu membangunkan kondominium gagal dikesan. Semua 28 syarikat gagal meneruskan pelbagai jenis pembangunan bernilai RM1.2 bilion selepas negara menghadapi masalah kegawatan ekonomi pada 1997.

Mohd Isa berkata, usaha kementerian mengatasi masalah projek terbengkalai mula memberi kesan kerana kebanyakan pemaju sedia mengkaji semula projek, termasuk mendapatkan pembiayaan.

"Ada pemaju sudah menyiapkan projek 50 hingga 80 peratus siap dan kebanyakannya sedia meneruskan projek," katanya sambil menambah, kementerian turut membantu syarikat terbabit menyelesaikan masalah, terutama aspek kewangan.

Beliau berkata, wakil Bank Negara Malaysia (BNM) turut dipanggil menghadiri mesyuarat bagi memberi pandangan dan bantuan yang diperlukan.

Mohd Isa berkata, kementerian turut mencadangkan supaya pemaju projek sakit mengubah status dan cadangan asal supaya lebih berdaya maju seperti projek kediaman.

"Langkah itu bagi memastikan projek terbabit memenuhi keperluan pasaran, selain mengelak pemaju menanggung lebih banyak kerugian," katanya sambil menambah kementerian tidak menyatakan bentuk kediaman yang perlu dibina pemaju terbabit.

Mohd Isa berkata, semua tujuh pemaju yang berhasrat membangunkan projek kediaman mahu segera melaksanakan projek.

Mengulas projek Plaza Rakyat, Mohd Isa berkata, ia agak rumit kerana memerlukan bantuan kewangan besar.

"Projek itu adalah projek usaha sama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pemaju swasta. Setakat ini, tidak ada institusi kewangan sedia membantu. Bagaimanapun, saya sudah meminta DBKL dan rakan usaha sama mengkajinya," katanya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.