This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Tribunal tak bimbang buat tuntutan
BeritaHarian 08/10/2004

KUALA LUMPUR: Bagaikan orang buta teraba-raba. Begitulah yang dirasai sebahagian pembeli rumah yang terpaksa berdepan dengan masalah teknikal ketika prosiding Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR).

Akibatnya, mereka terpaksa berulang-alik ke TTPR di Pusat Bandar Damansara untuk menghadiri perbicaraan antara pembeli, pemaju dan hakim.

Kebanyakan yang mengadu kepada TTPR ialah orang awam yang tidak mengetahui prosedur perbicaraan tribunal secara terperinci sehingga tidak dapat menyediakan bukti atau saksi yang diperlukan untuk melicinkan prosiding.

Kegagalan menyediakan bukti atau saksi menyebabkan perbicaraan ditangguhkan ke tarikh lain sehingga sebahagian pengadu menganggap masa mereka terbuang begitu saja.

Ada pembeli dari negeri lain terpaksa pulang hampa kerana penangguhan kes disebabkan kegagalan TTPR menjelaskan prosiding tribunal sejak awal.

Pembeli berpendapat TTPR patut menyediakan khidmat nasihat dan bimbingan, terutama perkara yang diperlukan dalam proses perbicaraan tribunal.

Khidmat nasihat dan bimbingan termasuk khidmat kejuruteraan yang bertanggungjawab membantu pengadu mengumpulkan bahan bukti membabitkan kerosakan di rumah.

Mereka berpendapat TTPR perlu memperkemas dan mempertingkatkan mutu perkhidmatan, terutama membabitkan pemfailan dan kemudahan bilik perbicaraan tribunal.

Tinjauan di TTPR mendapati pembeli merungut selepas kes mereka ditangguhkan kerana kekurangan bukti dan mengadu tidak mendapat nasihat atau bimbingan daripada kakitangan tribunal.

Mahadi Mohamad, 36, berkata TTPR sepatutnya menerangkan prosedur tribunal kepada pengadu sebelum proses perbicaraan bagi mengelakkan pengadu gagal menyediakan bukti atau saksi.

"Saya hanya diberitahu tribunal supaya membawa bukti. Jadi, saya bawa gambar kerosakan rumah yang saya beli.

"Apabila hadir tribunal, saya dikehendaki mengemukakan pandangan profesional daripada sudut kejuruteraan," kata anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu baru-baru ini.

Mahadi yang bertolak dari Lumut, Perak seawal jam 4 pagi, berkata perbicaraan terpaksa ditunda ke tarikh lain kerana tidak dapat menyediakan pandangan profesional itu.

Jurutera, Norlizah Fadzilah, 35, berkata beliau menjalani proses perbicaraan tribunal sebanyak dua kali kerana menghadapi masalah prosedur dan teknikal.

"Kali pertama, perbicaraan ditangguhkan kerana tidak menyediakan saksi walaupun sudah ada bukti secukupnya mengenai aduan terhadap pemaju.

"Untuk perbicaraan kali kedua, saya menerima surat makluman TTPR yang menyatakan ia diadakan di Bilik Pendengaran 4 di aras dua.

Malangnya, apabila ke tribunal, tidak ada bilik berkenaan di aras berkenaan sehingga terpaksa menumpang bilik lain," katanya.

Perbicaraan kali kedua terpaksa ditangguhkan lagi kerana masa tidak cukup sedangkan sebelum ini beliau dijanjikan untuk diberi bilik khusus bagi proses berkenaan yang mengambil masa panjang.

"Saya harap TTPR memperkemaskan proses teknikal termasuk surat-menyurat dengan mengelakkan berlaku kesalahan dan menyediakan lebih banyak bilik untuk perbicaraan," katanya.

Pemandu, Mohd Rapigh Mohamed, 39, pula berkata TTPR sepatutnya menyediakan khidmat jurutera profesional yang boleh membantu pengadu menguruskan soal teknikal untuk perbicaraan.

Pegawai bank, Mohd Othman Ahmad, 48, berkata TTPR seharusnya memperkemaskan sistem fail untuk mengelakkan pertindihan nama dan membazirkan masa pengadu yang terpaksa mengambil cuti untuk menghadiri perbicaraan.

TTPR yang berkuat kuasa mulai 1 Disember 2002 adalah badan bebas yang ditubuhkan selepas Akta Pemaju Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 dipinda mengikut Seksyen 16B, Bahagian VI Akta Pemaju Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) (Pindaan) 2002 (Akta A1142).

Pelaksanaannya ditangguhkan berikutan Mahkamah Tinggi memutuskan badan itu tidak boleh mendengar dan memutuskan tuntutan sehingga RM25,000 membabitkan perjanjian jual beli yang ditandatangani sebelum 1 Disember 2002.

Bagaimanapun, keputusan Mahkamah Tinggi pada 4 September 2003 itu diketepikan Mahkamah Rayuan yang membenarkan rayuan TTPR pada 18 Disember lalu.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.