This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Rumah bertingkat (Perangkap maut kepada kanak-kanak)

Utusan Malaysia 18/10/2004

SERING disebut orang malang tidak berbau. Namun, sesuatu yang buruk mungkin dapat dielak jika seseorang mengambil langkah berjaga-jaga dan berhati-hati.

Begitu juga halnya dalam kejadian kanak-kanak terjatuh dari kediaman bertingkat yang semakin kerap berlaku akhir-akhir ini.

Terbaru membabitkan kanak-kanak berusia tiga tahun, Nurul Ain Ashikin Shahbudin, yang terjatuh dari tingkat 14, Flat Pelangi Damansara, Petaling ]aya, Selangor.

Kejadian malang yang menyedihkan itu sepatutnya boleh dielak dan tidak sepatutnya berlaku apatah lagi kepada kanak-kanak.

Wartawan ROSMAH DAIN mendapatkan pandangan daripada golongan profesional berhubung langkah -langkah yang boleh diambil oleh pelbagai pihak sama ada ibu bapa, pihak berkuasa atau pemaju perumahan bagi mengelakkan kejadian terjatuh dari rumah bertingkat terus berulang.

KEJADIAN kanak-kanak jatuh daripada rumah pangsa, kondominum atau kediaman yang bertingkat atau sebagainya telah banyak dipaparkan dalam media sejak akhir-akhir ini.

Kemalangan itu bukan sahaja menyebabkan kecederaan Farah, malah kebanyakannya membawa maut kepada kanak-kanak yang terbabit.

Terbaru, kejadian yang menimpa Nur Ain Ashikin Shahbudin, tiga tahun, yang mati terjatuh dari tingkat 14 ketika bermain basikal bersama abangnya di rumah pangsa Pelangi Damansara, Kota Damansara

kejadian ngeri yang tidak sepatutnya berlaku terhadap anak- anak.

Mungkin di kalangan kita menyalahkan ibu bapa atau penjaga kanak-kanak terbabit yang gagal mengawasi atau memberi perhatian sehingga menyebabkan kemalangan seperti itu berlaku.

Begitu pun, ibu bapa atau orang dewasa lain tidak wajar dipersalahkan sepenuhnya jika kejadian malang seperti itu menimpa.

Menurut Pengarah KALAN, Pusat Kajian Alam Bina Dunia Melayu, Fakulti Alam Bina, Universiti Teknologi Malaysia' (UTM), Skudai, Johor, Profesor Madya Dr. Mohamad Tajuddin Mohamad Rasdi,42, aktiviti cergas merupakan perkara biasa bagi kanak-kanak.

Katanya, sudah menjadi lumrah atau sifat naluri semula jadi kanak- kanak yang sentiasa bergerak aktif atau berkeinginan untuk mengetahui dan melakukan sesuatu yang mungkin bakal memudaratkan diri mereka.

Mampu

"Secara keseluruhan seseorang individu dewasa tidak mampu untuk memberikan perhatian sepenuhnya

kepada kanak-kanak dalam usaha menjaga keselamatan mereka.

"Kanak-kanak juga selalunya enggan mengikut nasihat orang dewasa walaupun itu merupakan salah satu cara untuk mendisiplinkan mereka," katanya.

Di samping memberi nasihat, ibu bapa dan penjaga kanak-kanak sepatutnya lebih peka terhadap keselamatan anak-anak mereka di rumah. Beliau juga turut tidak menafikan cara reka bentuk kediaman bertingkat khususnya rumah pangsa tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan yang sepatutnya.

Keadaan ini turut menyumbang ke arah kejadian malang.

"Banyak keadaan di rumah pangsa yang boleh menjadi penyebab kepada kejadian kanak-kanak malah orang dewasa jatuh atau mengalami kecederaan.

"Ini termasuklah keadaan ruang yang berbahaya di ruang laluan (koridor), anjung (balkoni), tingkap dan ruang antara anak tangga, keadaan yang tidak selesa, keadaan ini yang tidak sesuai dan sebagainya," katanya.

Bukan itu sahaja, kanak-kanak turut diancam bahaya keselamatan dilanggar kenderaan ketika melintas di hadapan kediaman, jenayah sosial, kejutan elektrik dan sebagainya.

"Sepatutnya sebelum sesebuah kediaman bertingkat dibina arkitek dan pihak pemaju perlu menimbang mengenai kesesuaian tempat berkenaan sebagai tempat kediaman yang dihuni oleh mereka yang berkeluarga dan mempunyai anak- anak kecil.

"Malangnya kebanyakan kediaman yang dibina terutamanya di kawasan rumah pangsa kos rendah seolah-olah tidak memenuhi piawaian tempat kediaman, kerana rumah berkenaan dibina sama seperti reka bentuk pejabat," katanya.

Justeru, bagi kediaman bertingkat beliau memberikan beberapa cadangan yang antara lain mampu memberi perlindungan keselamatan daripada ancaman maut kepada kanak-kanak yang berada di kediaman tinggi. "

Pelantar

Antaranya, pembinaan kotak pelantar atau pembahagian pelindung sinaran matahari yang direka khas di setiap tingkat untuk menangkap atau menyambut kanak- kanak yang terjatuh.

Beliau berkata, reka bentuk sesebuah pangsapuri juga tidak sepatutnya dibuat secara bangunan yang mana setiap tingkat adalah sama dan disusun menegak sehingga kecuraman 90 darjah.

Mohamad Tajuddin berkata, rekabentuk setiap lapisan dua tingkat patut dibuat seperti tangga dimana sekiranya terdapat kanak- kanak yang jatuh contohnya dari tingkat enam, kanak-kanak berkenaan hanya akan terjatuh pada tingkat empat atau lima dan tidak terus ke bawah.

"Dinding bilik yang curam juga tidak patut mempunyai bukaan atau bukaan sekadar untuk pengcahayaan dan diletak enam kaki dari lantai di samping penggunaan laluan koridor luaran perlu dikawal dan sebaik-baiknya menggunakan koridor berbentuk dalaman.

"Penggunaan jeriji pada setiap koridor, balkoni, tingkap dan bukaan tangga perlu direka bentuk supaya mudah dipotong atau dibuka oleh pihak bomba dari luar sekiranya berlaku kecemasan,"katanya.

Beliau memberitahu, selalunya pembinaan pagar di bahagian koridor untuk menghalang penghuni kediaman daripada jatuh dibuat setinggi 900 milimeter (90 sentimeter) dan jarak di antara jaring besi pula ialah empat rod (100 milimeter).

Keadaan pagar yang agak rendah seperti ini memudahkan kanak- kanak jatuh sekiranya mereka berdiri di atas pasu bunga atau apa sahaja barangan yang berada di luar yang dijadikan perhiasan.

"Terdapat para arkitek dalam usaha untuk memudahkan kerja, mereka membina dinding konkrit yang tinggi di balkoni kemudian baru dipasang jeriji besi yang akan menyebabkan kanak-kanak terasa pemandangan mereka tersekat dan kemudian mengambil sesuatu untuk dijadikan tempat untuk berdiri yang mana keadaan ini menyebabkan mereka jatuh," katanya.

Justeru, beliau berkata, sudah sampai masanya semua pihak, terutama para arkitek dan pemaju perumahan mengambil berat dan lebih bertanggungjawab dalam pendekatan ke arah penyelesaian terhadap keselamatan kanak-kanak di kediaman tinggi.

"Para arkitek perlu lebih peka dalam menyediakan pelan perumahan yang lebih bersifat mesra kepada penghuni terutama kanak-kanak agar kejadian malang seperti ini tidak berlaku lagi," katanya.

Selain itu, beliau mencadangkan reka bentuk perumahan juga perlu dibuat yang tidak memerlukan kanak-kanak melintas jalan untuk ke sekolah, kedai atau ke taman- taman perumahan lain.

Setiap jalan raya dalam kawasan perumahan juga perlu dilengkapi bonggol atau paving texture untuk memperlahankan kenderaan serta pasukan terdapat laluan pejalan kaki dan basikal.

Kes 1

13 Oktober 2004

Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun mati selepas terjatuh dari tingkat 14, Flat Pelangi Damansara, Kuala Lumpur.

Mangsa, Nurul Ain Ashikin Shahbudin dipercayai terjatuh ketika sedang bermain bersama abangnya di atas sebuah basikal yang disandarkan pada dinding koridor kira-kira pukul 9 malam.

Kes 2

8 September 2004

Gara-gara mahu meniru aksi seperti hero ala Spiderman, seorang kanak-kanak berusia enam tahun terjun dari tingkat empat Flat Bijangga, Dungun, Kuala Terengganu, Terengganu.

Mohd. Nazir, murid Tabika Kemas Kampung Bijangga itu dikatakan memanjat jeriji besi beranda belakang rumah secara diam-diam.

Kes 3

8 Ogos 2002

Seorang kanak-kanak berumur tiga tahun mati setelah mengalami kecederaan Farah apabila terjatuh dari balkoni di tingkat sembilan pangsapuri Sri Panglima A, Bukit Saujana, Johor Baharu, Johor.

Mangsa, Aina Nadirah Aizan yang mengalami pendarahan di bahagian kepala dan patah bahu, mati selepas 15 minit dibawa ke hospital pakar di sini.

Ketika kejadian ibu bapanya sedang sibuk membantu jirannya yang mengadakan majlis perkahwinan di bawah pangsapuri tersebut.


KES 4

10 Disember 2001

Anak bongsu Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim maut setelah terjatuh dari tingkat 31, Kondominium Sri Bistari, Jalan Putra, Kuala Lumpur.

Ameer Mohammad Fawwaz, 3, meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah.

Difahamkan, sebelum terjatuh, Ameer sedang bermain bersama abang-abangnya di ruang tamu dan dia dipercayai memasuki salah sebuah bilik di kondominium tersebut.

Pintu bilik tersebut kemudian dikatakan terkunci dan semasa cuba mencari jalan keluar, Ameer dipercayai memanjat dan membuka tingkap bilik itu sebelum terjatuh.

KES 5

9 Ogos 2001

Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun yang memanjat mesin basuh yang diletakkan di tepi anjung belakang rumahnya di tingkat 18, Kinta Heights, Ipoh, Perak maut selepas terjatuh dari anjung itu.

Mangsa, M Calef Joshua terjatuh selepas jeriji besi di anjung itu tidak berkunci, lalu terkuak apabila tangannya mencapai jeriji itu.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.