This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Pulih tujuh projek sakit
Harian Metro 05/10/2004

PUTRAJAYA: Sekurang-kurangnya tujuh projek pembangunan terbengkalai di ibu negara yang gagal disiapkan akibat kegawatan ekonomi sejak 1997 akan dipulihkan semula.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, berkata setakat ini sekurang-kurangnya tujuh syarikat pemaju sudah memberikan komitmen untuk meneruskan projek berkenaan.

Menurutnya, kebanyakan projek terbengkalai itu milik syarikat swasta dan mereka gagal menyiapkannya mengikut jadual akibat kegawatan ekonomi sejak 1997 lagi.

"Melalui perbincangan dengan kementerian, mereka (pemaju) menyatakan kesediaan dan komitmen untuk meneruskan semula projek berkenaan dan boleh memulakannya serta-merta.

"Ada antara projek itu sudah mencapai tahap 50 hingga 80 peratus siap dan melalui langkah proaktif kementerian, mereka bersedia meneruskan projek itu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan perjumpaan dengan 26 daripada 28 wakil syarikat pemaju projek terbengkalai di kementeriannya di sini, semalam.

Hadir sama timbalannya, Datuk Zulhasnan Rafique, serta Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr Zulkurnain Awang.

Mohd Isa berkata, melalui pertemuan itu, kementeriannya turut mencadangkan langkah yang perlu dilaksanakan syarikat berkenaan termasuk meminda status projek mereka.

"Jika sebelum ini, cadangan asal projek berkenaan membina bangunan komersial termasuk hotel, tetapi kita meminta mereka menukarnya kepada projek perumahan dan kediaman.

"Ini bagi memastikan projek berkenaan memenuhi keperluan pasaran selain membantu mereka mengurangkan lebih banyak kerugian jika projek itu tidak dapat disiapkan," katanya.

Beliau berkata, kementerian difahamkan semua syarikat pemaju terbabit sudah membelanjakan kira-kira RM1.2 bilion bagi pembinaan projek berkenaan.

"Kebanyakan projek ini gagal disiapkan kerana pemaju menghadapi masalah kewangan akibat kegawatan ekonomi, malah ada yang hanya memerlukan kira-kira RM20 juta bagi menyiapkan projek itu.

"Dalam hal ini, kita cuba mencari jalan membantu mereka termasuk
berbincang dengan wakil Bank Negara Malaysia (BNM) yang turut hadir dalam perbincangan ini," katanya.

Mengenai projek Plaza Rakyat yang terbengkalai, Mohd Isa berkata, projek itu agak rumit diselesaikan kerana memerlukan peruntukan kewangan yang besar sebelum dapat dipulihkan.

"Ini adalah projek usahasama antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan syarikat swasta. Jadi, kita minta DBKL berbincang semula dengan pemaju terbabit," katanya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.