This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Perlu Penguatkuasaan Lebih Tegas Bagi Lindungi Pembeli Rumah
Bernama 6/10/2004 Oleh Santha Oorjitham

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Revisit simple pleasures at Bandar Sungai Buaya, begitulah yang dijanjikan dalam brosur jualan bagi satu projek perumahan di Selangor pada 1997.

Pemaju menjanjikan "pembangunan kurang padat dengan kemudahan infrasturktur yang efisien", dijadualkan siap menjelang pertengahan 1999.

Sebahagian daripada infrastruktur itu ialah "cadangan pembinaan Persimpangan Sungai Buaya" yang jaraknya "hanya 30 kilometer di Lebuhraya Utara Selatan dari Persimpangan Bukit Lanjan (Jalan Duta), Kuala Lumpur."

Tetapi pembeli rumah mendapati bahawa apa yang dijanjikan dalam brosur itu tidak dikotakan.

Hari ini, Bandar Sungai Buaya memang "kurang padat": Hanya 30 peratus daripada rumah itu yang telah dibina, menurut jurucakap Persatuan penduduk Bandar Sungai Buaya.

"Kemudahan infastruktur yang efisien" juga tiada, menurut para pembeli rumah projek berkenaan.

Misalnya, tiada Persimpangan Sungai Buaya. "Sebab utama saya membeli rumah itu ialah kerana jalan persimpangan itu," kata penulis iklan Nawiruddin Zainal Abidin kepada Bernama.

"Saya dijanjikan ia akan hanya mengambil masa setengah jam dari rumah saya ke pejabat saya di Damansara."

Nawiruddin berkata rumah itu juga lewat siap dan Sijil Layak Menduduki juga lewat kira-kira tiga tahun kerana syarat bagi sistem pembetungan tidak dipenuhi.

"Kami menghadapi masalah dengan kutipan sampah kerana jalan keluar-masuk yang sepatutnya dua hala tidak siap," katanya.

Dengan semua masalah, Nawiruddin memutuskan untuk tidak berpindah ke rumah itu.

Tetapi dengan membayar sewa rumah sebanyak RM270 sebulan, beliau menghadapi masalah untuk membayar pinjaman bank RM720 sebulan.

Oleh kerana pemaju masih belum mendapatkan geran individu bagi pemilik rumah, sukar untuk menjual hartanah mereka.

Mungkin di masa depan, masalah yang dihadapi penduduk Bandar Sungai Buaya akan dapat diselesaikan, kata jurucakap persatuan penduduk itu.

Anggota Dewan Undangan Negeri dan anggota Parlimen kawasan itu turut mengemukakan kes berhubung pembinaan persimpangan itu kepada Jabatan Kerja Raya dan jabatan itu sedang menimbangkannya.

Namun berdasarkan pengalaman mereka, jurucakap itu berkata: "Seluruh sistem pembelian dan penjualan rumah di Malaysia perlu disemak semula kerana langsung tidak ada peruntukan bagi pembinaan infrastruktur...di luar rumah anda."

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ong Ka Ting memberitahu Bernama bahawa kementerian sedang menyemak semula Akta Pembangunan Perumahan untuk penambahbaikan.

Beliau berkata kementerian juga sedang menimbangkan untuk memperluaskan kuasa dalam Akta itu, misalnya untuk memasukkan apartmen yang menawarkan servis dan rumah kedai.

Kementerian juga menimbangkan untuk menaikkan pampasan maksimum yang boleh diberikan oleh Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah, daripada RM25,000 kepada RM50,000.

"Kementerian akan berbincang dengan Persatuan Pembeli Rumah dan pihak berkenaan yang lain sebelum memuktamadkan cadangan pindaan akta itu," katanya semasa menjawab soalan bertulis.

"Perundangan adalah mencukupi tetapi penguatkuasaannya yang kurang," kata pengerusi jawatankuasa pengamal pindahhak Majlis Peguam Malaysia, Tony Woon, yang jawatankuasa itu mendengar aduan berhubung kerja pembinaan yang tidak kemas.

"Rumah merupakan keperluan asas manusia," kata Pengerusi Jawatankuasa Aduan dan Siasatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Prof Datuk Hamdan Adnan. "Anda tidak boleh bercakap mengenai maruah manusia jika masih ada orang yang tidak mempunyai rumah."

Antara 10 hingga 20 peratus aduan yang diterima jawatankuasa itu ialah mengenai perumahan -- kebanyakannya projek yang lewat atau terbengkalai.

"Perundangan tambahan tidak akan dapat menyelesaikan masalah itu ekoran kurang penguatkuasaan," dakwa Setiausaha Agung Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) Chang Kim Loong.

Chang mempersoalkan sama ada kementerian mempunyai cukup kakitangan berkelayakan untuk mengesan masalah itu dan melakukan pemeriksaan berdasarkan laporan enam bulan sekali mengenai status setiap projek perumahan, daripada pemaju.

"Sebab itu kita cadangkan sistem `bina dan jual' yang akan menggalakkan industri itu melakukan pemantauan sendiri.

Menteri berkata laporan dua tahun sekali daripada para pemaju dikendalikan oleh satu unit di Bahagian Penguatkuasaan dan Pemantauan yang dikenali sebagai Unit Aduan dan Penyiasatan Teknikal.

Jurutera dan juruteknik di unit berkenaan menyiasat laporan berkenaan apabila perlu, katanya.

"HBA juga tidak pernah lihat sebarang laporan media mengenai tindakan undang-undang yang diambil terhadap pemaju perumahan yang degil," kata Chang.

"Kementerian perlu bersikap tegas terhadap mereka dengan menonjolkan kes-kes supaya pemaju sedar bahawa kementerian serius untuk mendakwa mereka."

Ong berkata kementerian memang mengambil "tindakan tegas" terhadap 30 kes pemaju yang gagal mematuhi perintah yang dikeluarkan oleh Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah.

Kes berkenaan telah dirujuk ke Pejabat Peguam Negara dan sekiranya pemaju berkenaan tidak menjawab atau membayar pampasan berkenaan sebelum tarikh akhir, mereka akan dihadapkan ke mahkamah apabila mendapat kelulusan Pejabat Peguam Negara.

Ong berkata jika sabit kesalahan, pemaju boleh dikenakan denda maksimum RM5,000 dan/atau penjara maksimum dua tahun.

"Dalam kes jika pemaju terus enggan membuat bayaran itu, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 bagi setiap hari atau separuh hari selama kesalahan itu dilakukan selepas sabitan," katanya.

Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah, ditubuhkan pada Disember 2002, telah menyelesaikan 4,000 daripada 6,000 aduan yang diterima.

Chang berkata tribunal itu telah melakukan "tugas cemerlang" tetapi beliau turut menggesa kementerian menambah kuasa tribunal itu dengan memasukkan bidang kuasa terhadap projek perumahan terbengkalai.

-- BERNAMA

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.