This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Pemaju wajib patuh 23 langkah cegah jenayah
Berita Harian 13/10/2004

SHAH ALAM: Semua pemaju perumahan diwajibkan mematuhi 23 langkah pencegahan jenayah yang digariskan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi projek perumahan baru dalam usaha mewujudkan `bandar selamat' di seluruh negara.

Pemaju perlu memastikan susun atur dan pembangunan projek perumahan mereka tidak membuka ruang kepada kegiatan jenayah seperti ragut dan samun, antara lain dengan memastikan laluan pejalan kaki dipasang lampu yang terang dan tiada kawasan semak-samun, yang boleh menjadi tempat persembunyian penjenayah.

Langkah itu adalah lanjutan daripada keputusan mesyuarat Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) Ke-52, kelmarin, yang mewajibkan kerajaan negeri melaksanakan program bandar selamat kepada semua 145 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting, berkata dengan pelaksanaan program bandar selamat itu, semua PBT perlu mematuhi 23 langkah pencegahan jenayah, termasuk dalam aspek perancangan fizikal dan kelulusan pelan pembangunan di kawasan pentadbiran masing-masing.

"Berikutan itu, semua projek perumahan baru perlu mematuhi 23 langkah yang disediakan ini untuk kelulusan. PBT harus memastikan pemaju mematuhi syarat ini supaya projek pembangunan itu tidak mendedahkan penduduk kepada masalah jenayah," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Pegawai Kanan Perancang Bandar dan Desa Malaysia dan sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2004 di sini, semalam.

Mesyuarat MNKT yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kelmarin, secara rasmi memperakui dan meluluskan pelaksanaan program bandar selamat di seluruh negara.
MNKT adalah badan tertinggi yang menggubal dasar kerajaan tempatan selaras dengan peruntukan Perkara 95A Perlembagaan Persekutuan.

Kerajaan negeri juga diarah memantau pelaksanaan program berkenaan serta mengambil tindakan terhadap mana-mana PBT yang didapati gagal melaksanakan program itu mengikut bidang kuasa negeri.

Antara langkah yang perlu dilaksanakan PBT ialah mewujudkan laluan berasingan bagi pejalan kaki dan kenderaan bermotor; memasang pagar pemisah bagi pengguna terbabit; membersihkan kawasan semak, laluan awam yang tidak terlindung dan menerangkan kawasan gelap selain memasang kamera litar tertutup (CCTV).

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.