This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Projek perumahan Serdang Perdana dipulihkan semula
Utusan Malaysia 17/9/2003

SERI KEMBANGAN 16 Sept. - Projek perumahan Seksyen Lima, Serdang Perdana di sini yang terbengkalai sejak dua tahun lalu akan dipulihkan semula oleh dua buah syarikat pemaju perumahan swasta tidak lama lagi.


Danaharta Nasional Berhad (Danaharta), pentadbir khas projek itu telah melantik Prinsiptek (M) Sdn Bhd. dan Temasya Jaya Sdn. Bhd. untuk memulihkan projek tersebut.


Ahli Parlimen Serdang, Datuk Yap Pian Hon berkata, projek Serdang Perdana yang dimulakan pada akhir tahun 1998 telah terbengkalai pada awal November 2001 apabila pemajunya mengalami masalah kewangan yang teruk.


Katanya, masalah kewangan itu berpunca dari krisis kewangan Asia yang turut melanda negara ini walaupun sebahagian daripada rumah di dalam projek itu telah 80 peratus siap.


Menurutnya, selepas gagal menyelamatkan projek tersebut Danaharta telah mengambil alih projek itu untuk ditadbir dan dimajukan semula.


"Pelantikan dua pemaju baru untuk meneruskan projek tersebut memang merupakan satu kelegaan dan berharap semua pembeli bersabar kerana beberapa urusan awal perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum ia dapat dimulakan semula," jelasnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa mengadakan lawatan ke tapak perumahan terbengkalai di Seksyen lima, Serdang Perdana di sini hari ini.


Projek perumahan itu mengandungi tiga buah blok rumah kedai empat tingkat, dua buah blok pangsapuri servis 21 tingkat dan satu blok pangsapuri sederhana rendah 20 tingkat.

Ia juga mengandungi tiga blok rumah kedai serta 220 unit pelbagai kemudahan lain untuk penghuni pangsapuri berkenaan.


Pian Hon menambah, pembeli kini tidak perlu khuatir kerana mereka akan dipanggil oleh pihak pemaju tidak lama lagi bagi menghadiri satu sesi dialog yang membincangkan status pembinaan semula itu.


"Syarikat pemaju itu akan mengiklankan perjumpaan berkenaan di dalam setiap akhbar tempatan tidak lama lagi," ujarnya.


Mengenai beban faedah pinjaman yang terpaksa ditanggung oleh lebih 1,300 pembeli projek itu, Pian Ron berkata, ia memang merupakan satu masalah tetapi mereka perlu membayarnya kerana ia merupakan sebahagian daripada perjanjian.


"Saya sendiri sering menerima panggilan daripada para pembeli perumahan berkenaan yang merayu supaya dilakukan sesuatu terhadap bayaran balik pinjaman tersebut," katanya.


Sebagai inisiatif, katanya, beliau telah berjumpa dengan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Shafie Salleh supaya dapat diadakan rundingan dengan Bank Negara untuk mendapatkan pengecualian bayaran faedah atau pengurangan faedah pinjaman.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.