This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Had Kuasa tribunal rumah
Berita Harian 05/09/2003

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi semalam, memutuskan Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah tidak mempunyai bidang kuasa membuat keputusan kes berhubung perjanjian jual beli rumah yang ditandatangani sebelum 11 Disember 2002 kerana ketika itu tribunal belum diwujudkan.

Dalam keputusan bersejarah membabitkan tuntutan pembeli rumah di negara ini, Hakim Datuk Raus Sharif membenarkan permohonan semakan kehakiman dua pemaju perumahan berhubung keputusan tribunal pada 27 Mac lalu.

Sehubungan itu, keputusan Raus semalam mengikat terhadap semua kes lain yang didaftarkan kepada tribunal.

Tribunal dalam keputusannya pada 27 Mac lalu membenarkan tuntutan enam pembeli berhubung aduan mereka, pemaju lambat menyerahkan rumah masing-masing selain gagal menyiapkan kemudahan kegunaan bersama.

Raus berkata, peruntukan undang-undang tidak menyebut bidang kuasa tribunal boleh berkuat kuasa ke belakang atau retrospektif.

"Bagi membenarkan tribunal menjalankan bidang kuasa ke atas perjanjian jual beli sebelum 1 Disember 2002, ia perlu membenarkan undang-undang jenayah retrospektif.Ini dilarang Perkara 7 Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Mengikut laporan Penasihat Undang-Undang kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan ,setakat 3 Julai lalu, 2,209 kes difailkan kepada tribunal dan 438 kes sudah diselesaikan.

Tribunal itu sudah mengeluarkan perintah pampasan RM2,396,537. 73 kepada pembeli rumah dan semua kes itu didengar walaupun timbul pertikaian berbangkit daripada perjanjian jual beli sebelum 1 Disember 2002.

Raus berkata, Seksyen 16N(2) Akta Permajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) tidak boleh dibaca sebagai membenarkan bidang kuasa retrospektif mengenai tribunal atau rnemperluaskan bidang kuasa tribunal itu.

Katanya, Seksyen 16N(2) tidak dapat ditafsirkan beroperasi retrospektif kerana wujudnya Seksyen 16 AD yang menjadikan tiada pematuhan terhadap pampasan tribunal itu sebagai kesalahan jenayah.

Raus berkata, Seksyen 16 AD pindaan akta itu dengan jelas mendedahkan kedua-dua pemaju kepada tanggungjawab sivil serta tanggungjawab jenayah.

"Ini tanpa ragu-ragu menjejaskan hak pemaju jika Seksyen 16N(2) ditafsirkan beroperasi ke belakang," katanya.

Beliau berkata, ini kerana pada rnasa perjanjian jual beli itu ditandatangani, sebarang perlanggaran perjanjian hanya membabitkan kesan sivil.

Pemaju Puncak Dana Sdn Bhd memohon kepada rnahkamah satu perintah mengetepikan pampasan yang diberikan oleh tribunal itu kepada enam daripada 50 pembeli rumah yang membuat aduan terhadap syarikat terbabit.

Pada 17 Jun, Raus memerintahkan permohonan semakan kehakiman oleh pemaju itu didengar bersama satu lagi permohonan yang sama bentuknya oleh Westcourt Corporation Sdn Bhd, sebagai kes ujian.

Dalam permohonan itu, Puncakdana dan Westcourt mendakwa akta berkenaan tidak menyatakan dengan jelas kesan ke belakang.

Sehubungan itu, beliau berkata, tribunal itu tidak boleh mendengar dan memutuskan kes yang berbangkit daripada perjanjian jual beli yang ditandatangani sebelum 1 Disernber 2002.

Antara lain pemaju memohon perisytiharan bahawa tribunal tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan aduan 50 pembeli rumah serta pengisytiharan pampasan itu tidak sah, batal dan tidak boleh dilaksanakan.

Pemaju itu juga memohon perintah bagi menghalang tribunal daripada meneruskan prosiding mendengar dan memutuskan pampasan yang dibuat oleh pembeli rumah lain.

Sebuah syarikat pemaju lain, Fadason Holdings Sdn Bhd juga memohon untuk semakan kehakiman terhadap tribunal dan 39 pembeli rumah dan kes itu ditetapkan untuk didengar di mahkamah yang sama.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan, Chang Kim Loong memberitahu pemberita mereka akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.