This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

2,098 pembeli rumah hadapi masalah buat tuntutan
Berita Harian 06/09/2003

KUALA LUMPUR: Seramai 2,098 pembeli rumah yang memfailkan kes ke Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR), akan menghadapi masalah membuat tuntutan terhadap pemaju masing-masing.

Ini kerana tribunal itu tidak mempunyai kuasa mendengar kes membabitkan perjanjian jual beli (S&P) yang ditandatangani sebelum 1 Disember 2002, seperti diputuskan Mahkamah Tinggi, kelmarin.

Sehubungan itu, Setiausaha Agung Persatuan Pembeli Perumahan (HBA), Chang Kim Loong, menyarankan kerajaan mewujudkan mekanisme khusus untuk mempertimbangkan tuntutan pembeli rumah yang majoritinya sudah memfailkan tuntutan di TTPR.

Katanya, cadangan itu akan dikemukakan pada pertemuan dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting dalam tempoh terdekat ini.
"Kami juga akan meminta kerajaan meminda Akta Pemaju Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 2002 supaya lebih terbuka dan tidak mengehadkan penerimaan kes tuntutan pembeli rumah pada tarikh tertentu," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau mengulas keputusan mahkamah kelmarin bahawa TTPR tidak mempunyai kuasa membuat keputusan kes berhubung S&P yang ditandatangani sebelum 1 Disember 2002 kerana ketika itu tribunal belum diwujudkan.

Hakim Raus Sharif membenarkan permohonan semakan kehakiman dua pemaju perumahan berhubung keputusan tribunal pada 27 Mac lalu. Keputusan itu mengikat semua kes lain yang didaftarkan kepada TTPR.

Tribunal dalam keputusannya pada Mac lalu membenarkan enam pembeli mengemukakan tuntutan mengenai pemaju lambat menyerahkan rumah masing- masing selain gagal menyiapkan kemudahan kegunaan bersama.

Sementara itu, Ong berkata, Pejabat Peguam Negara akan membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, malah Peguam Negara memberi jaminan yang beliau sendiri akan mewakili kerajaan di mahkamah yang lebih tinggi.

"Kerajaan juga akan dapatkan tarikh paling awal untuk mendengar rayuan itu," kata Ong dalam satu kenyataan, sambil menambah, penubuhan tribunal itu dibuat atas kepentingan pembeli rumah selaras dengan peruntukan undang-undang.

"Kerajaan sudah pasti akan meninjau setiap kemungkinan untuk memastikan tujuan sebenar penubuhan tribunal itu menepati sasarannya," katanya sambil menambah, beliau menghormati keputusan mahkamah walaupun terkejut dengannya.

"Saya memandang serius perkara ini dan juga telah mengarahkan Kementerian saya untuk mengkaji segala kemungkinan untuk memastikan kepentingan dan hak sah pembeli rumah terus terbela," katanya.

Beliau mengingatkan pemaju, apabila saja mereka memeterai S&P bersama pembeli rumah, sudah pun wujud tanggungjawab kontraktual yang mereka harus tepati dan penuhi.

"Mereka tidak harus dipaksa menjalankan kewajipan mereka melalui mahkamah undang-undang," katanya.

Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Prof Datuk Hamdan Adnan, pula berkata pembeli yang tidak berpuas hati dengan keputusan berkenaan boleh menggunakan kaedah lain seperti tindakan sivil.

Bagaimanapun, katanya, pemaju perlu bertimbang rasa dan seharusnya tidak bertindak sesuka hati untuk memastikan hak pembeli sentiasa terpelihara serta tidak teraniaya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.