This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Hasrat miliki rumah berkecai
17/07/2003 Berita Harian

HASRAT memiliki rumah sendiri memang menjadi idaman sepanjang hidup semua orang, kerana tempat berteduh itu walaupun kecil, tetapi penting untuk membina keluarga bahagia dan masa depan lebih gemilang.


Bagaimanapun, jika rumah yang dibeli itu masih belum siap, idaman itu pastinya tidak kesampaian, malah diselubungi perasaan kecewa apabila melihat rumah berkenaan terbengkalai.


Seramai 139 pembeli rumah di Taman Kerisi, Mambau, dekat Seremban adalah antara mereka yang diselubungi kecewa kerana rumah yang menjadi idaman dan dibeli sejak tahun 2001 sehingga kini masih terbengkalai.


Sehubungan itu mereka meminta pihak kerajaan negeri campur tangan bagi menyelesaikan masalah itu demi kebaikan bersama.


Projek taman itu yang dimulakan sejak 2001 mengandungi 139 unit rumah teres kos rendah dan sederhana berharga antara RM40,000 hingga RM105,000 bergantung kepada saiz tanah.


Sebanyak 70 peratus pembeli rumah berkenaan Cina dan India manakala selebihnya adalah Melayu yang kebanyakannya kakitangan Hospital Besar Seremban.


Mereka tidak puas hati terhadap pemaju terbabit yang beroperasi di TamanOakland, Seremban Dua, di sini, kerana sudah lebih setahun rumah berkenaan tidak dapat disiapkan sehingga menimbulkan kesulitan pembeli.


Tinjauan Berita Harian ke lokasi, mendapati projek perumahan itu kira- kira 70 peratus siap dengan keadaan rumah kos rendah masih belum mempunyai pagar, pintu dan struktur pembinaan kawasan dalaman dan luar rumah belum sempurna.


Tinjauan juga mendapati keadaan kawasan perumahan itu telah mula ditumbuhi rumput manakala jalan masuk ke taman itu masih belum diturap.


Jurucakap pembeli rumah berkenaan, Ahmad Zaidi Mohamad, 32, berkata secara keseluruhannya pembeli sudah menyelesaikan segala urusan pemprosesan dan sebahagian besar daripada mereka sudah dikenakan pemotongan bayaran bulanan oleh pihak bank antara RM490 hingga RM900 sebulan.


Beliau berkata, disebabkan rumah yang dibeli masih belum siap, sebahagian besar pembeli terpaksa pula menyewa rumah untuk keluarga dengan kadar antara RM300 hingga RM400 sebulan.
"Kami bukan saja terpaksa membayar ansuran bulanan kepada bank malah dalam masa sama membayar sewa rumah. Walau pun keadaan rumah yang terbengkalai itu pernah dimaklumkan kepada pihak bank tetapi pihak terbabit tetap mahu pembeli membayar ansuran bulanan dan ini amat membebankan.


"Kami pernah menyuarakan masalah ini kepada peguam tetapi mereka tiada mengambil sebarang usaha dan tindakan untuk membantu, malah pihak pemaju sendiri tidak pernah menemui pembeli untuk berbincang dan menyelesaikan masalah yang dihadapi.


"Kami kecewa terhadap sikap pemaju terbabit yang tidak mengambil kira kepentingan pembeli," katanya ketika ditemui, semalam.


Berikutan kegagalan pihak pemaju menyiapkan rumah berkenaan, pembeli sepakat untuk meminta pihak berkuasa terutama kerajaan negeri campur tangan supaya pemaju meneruskan projek berkenaan demi kepentingan bersama.


Mereka meminta pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap memaju terbabit jika dapati gagal menyiapkan projek rumah berkenaan dalam tempoh terdekat, malah tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan polis dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) dalam tempoh sehari dua ini.


Mereka sedia berjumpa Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Yeow Chai Thiam, untuk berbincang bagi mencari jalan penyelesaian yang terbaik demi kebaikan semua pihak.


"Sudah sampai masanya pihak berkuasa memberi perhatian serius mengenai perkara ini kerana ramai yang menjadi mangsa pihak pemaju yang cuba sewenang-wenangnya mengambil kesempatan untuk kepentingan diri dan perniagaan sehingga menimbulkan kesulitan pembeli," kata Chey Jiun Loong, 30, yang juga antara pembeli rumah itu.

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.