This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Urusan lulus CF lebih sistematik
13/06/2003 Berita Harian

KUALA LUMPUR: Satu garis panduan sistematik dan lebih jelas berhubung urusan meluluskan pelan pembangunan dan sijil layak menduduki (CF) akan dikeluarkan kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting, berkata langkah itu bertujuan mengurangkan kerenah birokrasi di sesebuah agensi ketika meluluskan permohonan CF dan pelan pembangunan, selain mempercepatkan proses kelulusannya.

Melalui garis panduan itu, semua PBT di seluruh negara wajib mewujudkan pusat sehenti masing-masing bagi memastikan segala urusan penerimaan dan pemprosesan pelan pembangunan serta CF diluluskan segera.

Selain itu, pegawai PBT dilarang mengenakan syarat tambahan termasuk bayaran tertentu dalam meluluskan permohonan berkenaan.

Beliau berkata, garis panduan baru itu menetapkan pelan pembangunan mesti diluluskan dalam tempoh 12 minggu, manakala pemeriksaan dan perakuan daripada tujuh jabatan teknikal serta agensi lain, tidak melebihi empat minggu.

"Dulu, mereka mengambil masa bertahun-tahun untuk memberi kelulusan kerana pelbagai masalah seperti permohonan tersadai di sesebuah jabatan atau agensi. Sekarang, kita hendak semua proses itu disatukan melalui pusat sehenti.

"Jika ada kes rumit, PBT perlu rujuk pihak berkuasa negeri. Garis panduan sedia ada akan dikekalkan, termasuk proses mendapat CF tidak melebihi 14 hari," katanya selepas melancarkan kad Supreme-Red Hot World Card di sini, semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad kelmarin mengarahkan kerajaan negeri mengurangkan kerenah birokrasi dalam proses kelulusan semua projek pembangunan bagi membantu merangsang ekonomi negara.

Arahan itu disampaikan Perdana Menteri pada mesyuarat dengan Menteri Besar dan Ketua Menteri di Putrajaya.

Beberapa Menteri Besar dan Ketua Menteri yang dihubungi selepas mesyuarat itu menjelaskan, Dr Mahathir tidak puas hati dengan kelewatan kelulusan di sesetengah negeri seperti pindah milik tanah, CF, pelan bangunan dan penguatkuasaan undang-undang.

Ong berkata, semua PBT dan kerajaan negeri perlu menyebarkan garis panduan baru itu melalui media massa, laman web serta mencetak risalah supaya pelanggan lebih faham dan jelas apabila berurusan dengan mana-mana jabatan berkaitan.

Beliau berkata, garis panduan lebih jelas itu selaras dengan pengumuman pakej rangsangan ekonomi oleh Perdana Menteri baru-baru ini, yang bertujuan mempercepatkan proses pertumbuhan ekonomi negara.

Katanya, keutamaan akan diberikan kepada sektor pembuatan dan sektor perkhidmatan dalam meluluskan pelan pembangunan dan CF.

Ditanya sama ada pengeluaran garis panduan itu juga bertujuan mengelak amalan rasuah atau penyelewengan, beliau berkata ia memang boleh mengelakkan mana-mana pihak yang cuba menyeleweng atau menyalahgunakan kuasa.

"Jika semua garis panduan ini diikuti sepenuhnya, orang awam yang berurusan dengan PBT atau mana-mana agensi berkenaan dapat mengetahui sama ada wujud sebarang unsur rasuah atau penyelewengan dan boleh melaporkan kepada Badan Pencegah Rasuah," katanya.

Ong juga mengesahkan, kementeriannya sedang mengkaji untuk meminda undang-undang bagi membolehkan kakitangan PBT ditukarkan ke mana-mana agensi di bawah PBT berlainan dalam negeri sama.

Melalui pindaan itu, urusan penyeliaan dan pelaksanaan perkhidmatan di dalam PBT akan menjadi lebih berkesan selain dapat mempercepatkan proses kelulusan sesuatu permohonan.

"Mana-mana kakitangan PBT yang tidak menjalankan tugas dan tanggungjawab mengikut prosedur kerja serta menyeleweng sememangnya boleh dikenakan tindakan disiplin.

"Kementerian sedang berbincang dengan pejabat Peguam Negara untuk meminda undang-undang itu," katanya sambil menambah, ketika ini seseorang kakitangan PBT tidak boleh ditukarkan ke mana-mana PBT yang berlainan walaupun individu terbabit tidak produktif.

Beliau berkata, dengan pindaan itu, mana-mana kakitangan tidak produktif boleh ditukarkan ke agensi berlainan di bawah PBT dalam negeri yang sama supaya perkhidmatan PBT itu lebih cekap.

Ong juga berkata, satu garis panduan berhubung pembinaan tandas yang "mesra pengguna" juga akan dikeluarkan kementerian itu tidak lama lagi.
 
 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.