This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

MBMB arah pemaju ingkar henti pembinaan pangsapuri
21/06/2003 Berita Harian

MELAKA: Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mengarahkan pemaju projek pangsapuri di mukim Bukit Katil berhampiran Kampung Tun Razak di sini, menghentikan pembinaan serta-merta kerana dikesan melanggar peraturan yang ditetapkan.

MBMB juga akan bertindak tegas terhadap pemaju berkenaan mengikut Seksyen 72 (5) Akta 133 Jalan, Parit dan Bangunan 1974, jika disabit kesalahan boleh didenda 10 kali ganda bayaran proses kelulusan plan bangunan.

Datuk Bandar MBMB, Zaini Md Nor, berkata projek pembinaan di situ diarah menghentikan operasi sejak kelmarin kerana didapati tidak mendapatkan kelulusan semula untuk membina bangunan daripada MBMB.

Beliau berkata, kelulusan untuk membina empat blok pangsapuri enam hingga lapan tingkat di situ sudah diluluskan oleh MBMB pada 1997 tetapi pemaju terbabit tidak memulakan pembinaan.

“Sepatutnya pemaju ini mendapatkan semula kelulusan daripada MBMB kerana kelulusan plan bangunan hanya sah dalam tempoh setahun daripada tarikh diluluskan,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek pembinaan pangsapuri itu di sini.

Selain itu, Zaini menegaskan pemaju terbabit juga tidak mendapatkan notis daripada MBMB untuk melaksanakan projek terbabit selain gagal menyediakan papan tanda projek.

Katanya, notis sudah dihantar pada pemaju yang juga pemilik tanah berkenaan supaya menghentikan projek itu serta merta sehingga MBMB mengeluarkan notis kebenaran untuk meneruskan pembinaan di situ.

“Pemaju ini perlu mendapatkan semula kelulusan plan projek daripada MBMB sebelum boleh meneruskan projek pembinaan pangsapuri di tanah miliknya ini,” katanya.

Serentak itu, Zaini mengingatkan semua pemilik tanah dan pemaju supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan untuk mengelakkan tindakan tegas di ambil ke atas mereka.

“MBMB tidak akan berkompromi terhadap pemaju yang masih gagal mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dan tindakan tegas akan dikenakan terhadap mereka,” katanya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.