This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Mangsa tanah mendap diberi rumah sementara
11/04/2003 Berita Harian

SHAH ALAM: Keluarga mangsa yang rumahnya mengalami kerosakan teruk akibat pemendapan di Blok 5, Pangsapuri Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Seksyen 19 sudah dipindahkan ke Seksyen 24, di sini, Isnin lalu.

Fodziah Abu Kassim, 57, dan keluarganya dipindahkan ke rumah pangsapuri milik PKNS untuk tempoh sementara sehingga dua bilik rumahnya yang mendap di Seksyen 19 siap diperbaiki dan disahkan selamat diduduki.

Pengurus Perhubungan Awam PKNS, Mohd Salim Yusoff, berkata ketika ini cuma keluarga Fodziah saja dipindahkan ke pangsapuri lain selebihnya 59 keluarga lain dari blok yang sama masih menetap di situ.

Bagaimanapun, katanya, jika penghuni lain berasa bimbang akan keselamatan mereka atau tidak yakin menetap di situ, mereka akan dipindahkan ke rumah lain, buat sementara waktu.

“Jurutera kami sedang memantau semua perkembangan di blok ini termasuk kerja membaiki rumah Fodziah dijangka disiapkan dalam tempoh tujuh hingga 10 hari.

“PKNS menghulurkan bantuan yang diperlukan kepada keluarga Fodziah dengan menyediakan kemudahan pengangkutan untuk berpindah ke Seksyen 24,” katanya selepas meninjau tempat kejadian itu di sini, kelmarin.

Dalam kejadian Ahad lalu, lantai dua bilik di rumah unit bawah mangsa terjatuh dan mendap tanah menyebabkan seluruh penghuni di blok 5 pangsapuri itu berlari keluar dari rumah masing-masing.

Selain lantai mendap, rumah mangsa juga mengalami retakan berikutan mendapan itu sehingga membentuk garisan lubang, besar pada dinding rumah berkenaan.

Mohd Slim berkata, sehari selepas kejadian, penghuni lain diminta berpindah ke Dewan Serbaguna di Seksyen 19, tetapi mereka pulang semula selepas menerima surat daripada jurutera PKNS yang mengesahkan rumah mereka selamat diduduki.

“Ketua Jurutera Penyeliaan, Hing Kok Yin berkata dalam surat pada 7 April lalu menyatakan pemendapan lantai pada dua bilik dan dinding pemisah di unit itu adalah sekitar unit itu saja dan bukannya disebabkan kelemahan struktur bangunan.

“Memandangkan keseluruhan struktur disokong cerucuk konkrit, beliau memberi jaminan tempat itu selamat didiami,” katanya.

Sementara itu, Fodziah yang sudah menetap di rumah berkenaan sejak dua tahun lalu berkata, ketika kejadian, beliau tiada di rumah kerana sibuk menguruskan bil rawatan arwah suaminya di Petaling Jaya.

“Ketika kejadian, anak saya Ahmad Farid, 23, sedang sibuk menyiapkan diri untuk pergi kerja dan dengan tiba-tiba terdengar bunyi dentuman yang kuat seperti guruh di dua bilik.

“Lantai di dua bilik mendap manakala dinding retak sehingga membentuk lubang besar,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada PKNS kerana menyediakan rumah sementara untuk keluarganya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.