This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Tiada syarat tambahan dapat CF
15/12/2003 Berita Harian

PELABUHAN KLANG: Majlis Perbandaran Klang (MPK) tidak pernah mengenakan syarat tambahan menyebabkan pemaju dan pembeli rumah mengalami kelambatan mendapatkan Sijil Kelayakan Menduduki (CF).

Yang Dipertuanya Datuk Mohd Sharif Yusof, berkata MPK tidak pernah melakukannya sebagaimana didakwa adanya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pegawai berkaitan sengaja mengadakan syarat tambahan kepada pelan awal pemaju menyebabkan mereka mengalami kesulitan memenuhi syarat dan tidak mendapat kelulusan CF.

"Bagaimanapun MPK mengambil kira kelulusan jabatan teknikal seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Bomba dan Penyelamat serta jabatan berkaitan," katanya selepas merasmikan Pusat Warga Emas Pandamaran dekat sini, semalam.

Turut hadir pada majlis itu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Pelabuhan Klang Datuk Teh Chang Ying, Adun kawasan Bandar Klang Teng Chang Khim, Pengarah Kesihatan MPK Rosli Udin, Penaung Pusat Warga Emas Pandamaran, Datuk Dr Tee Kim Poo dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pandamaran Low Thiam Seng.

Mohd Sharif, berkata MPK selalu berpandukan kepada pelan asal yang dikemuka kan oleh pemaju dan sekiranya ada syarat tambahan dibuat sebelum pelan itu diluluskan untuk pembinaannya dan bukan setelah pembinaan siap.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Mohammad Khir Toyo dalam sidang akhbarnya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Rabu, lalu mendakwa adanya PBT dan pegawai berkaitan yang sengaja mengenakan syarat tambahan kepada pemaju setelah kerja-kerja pelan awal yang diluluskan siap.

Bercakap mengenai Warga Emas beliau, berkata MPK prihatin kepada golongan itu dan menghormatinya kerana pernah mencurah jasa dan bakti bukan saja kepada masyarakat, tetapi bangsa dan negara.

Warga Emas, katanya adalah mereka yang pernah berkhidmat dalam pelbagai bidang seperti di sektor awam, swasta dan berkecimpung dalam Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang banyak berjasa dan tidak sepatutnya diabaikan.

Sehubungan itu, katanya sebagai menghargai jasa dan bakti mereka MPK meluluskan tiga gerai di Pandamaran sebagai Pusat Warga Emas bagi membolehkan mereka bertemu dan bertukar fikiran di antara satu sama lain dan meluahkan perasaan daripada pengalaman dan pandangan masing-masing.

"Saya dimaklumkan bahawa sebelum adanya Pusat ini mereka sering berkumpul di restoran dan kedai minum biasa yang kurang menyenangkan pekedai kerana terlalu lama berbincang menyebabkan mengganggu pelanggan lain tidak mendapat tempat duduk dan tidak disukai oleh pekedai," katanya.

Sharif, berkata dengan adanya tiga gerai dua untuk lelaki dan sebuah untuk wanita golongan Warga Emas khasnya di Pandamaran boleh menggunakan untuk mengadakan pertemuan sesama mereka dalam jangka waktu tidak terhad.

Beliau berharap Warga Emas akan menggunakan dan menjaga kemudahan itu sebaik-baiknya di samping menyeru lebih ramai penderma membantu kegiatan mereka.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.