This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Rumah kos rendah perangkap masalah sosial
28/12/2003 BH

PADA Krismas kali ini, penulis bersama isteri menghadiri jemputan rumah terbuka di sebuah rumah kebajikan Kristian di Bandar raya yang diurus oleh seorang wanita Kristian yang luar biasa kesabaran dan komitmennya untuk membantu kanak kanak yang ditimpa pelbagai nasib.

Rumah kebajikan ini memberi bantuan kepada 11 kanak kanak perempuan berusia daripada empat hingga 16 tahun yang berasal daripada keluarga yang kurang bernasib baik di kawasan setinggan dan rumah kos rendah di sekitar bandar raya.

Kawasan perumahan kos rendah dan apartmen kos rendah untuk golongan berpendapatan rendah masih menjadi satu fenomena baru di negara kita terutama sekali di Kuala Lumpur. Dalam sekelip mata saja berpuluh ribu unit apartmen kos rendah telah dibina. Ramai orang tidak sedar kawasan perumahan apartmen kos rendah ini sekarang sedang bertukar menjadi sarang masalah sosial yang melibatkan anak-anak muda kita.

Hampir semua daripada 11 kanak kanak perempuan yang menjadi tetamu di rumah kebajikan tadi juga menjadi mangsa persekitaran mereka termasuk kawasan setinggan dan perumahan kos rendah.

Kita mempunyai rancangan untuk `menaikkan taraf' semua penghuni kawasan setinggan menjadi penghuni apartmen kos rendah sehingga Kuala Lumpur `bebas' daripada setinggan. Tetapi apakah pemindahan orang daripada kawasan setinggan ke perumahan kos rendah menjaminkan satu kenaikan taraf hidup bagi mereka dan bandar raya kita ataupun apakah pemindahan ini sebenarnya menjadi peledak jangka yang akan membawa masalah besar pada masa depan? Masalah yang lebih rumit dan yang akan memerlukan lebih banyak perbelanjaan dan kesengsaraan untuk menanganinya pada masa depan.

Mengikut petugas di rumah kebajikan tadi mereka sebulat suara berpendapat bahawa perumahan kos rendah yang sedang dibina sekarang pasti akan menimbulkan masalah sosial, kumpulan jahat gengster, dadah, sumbang mahram dan sebagainya. Sebab utamanya ialah apartmen kos rendah dengan hanya satu atau dua bilik adalah terlalu kecil bagi menampung keluarga berpendapatan rendah yang biasanya mempunyai ramai anak.

Apartmen yang kecil tanpa mempunyai laman merumitkan ketegangan kecil yang lazimnya berlaku dalam keluarga dan menyulitkan kemesraan keluarga. Untuk melepaskan diri daripada kesesakan dalam rumah, anak muda akan keluar mencari ketenangan bersama kawan dan orang lain. Maka di sinilah mereka terlepas daripada pengawasan keluarga dan terjebak dalam aktiviti yang tidak baik.

Kita perlu mendengar pendapat semua orang terutama sekali petugas profesional yang pakar dalam masalah sosial golongan berpendapatan rendah dan penghuni perumahan kos rendah sebelum kita meluluskan projek perumahan kos rendah. Sehingga sekarang pendekatannya lebih menumpu kepada penghapusan semua kawasan setinggan di bandar raya.

Kita boleh melaungkan perangkaan terkini yang mencatatkan bilangan apartmen dan rumah kos rendah yang telah dibina tetapi kita tidak mahu mengakui masalah sosial yang bakal timbul daripada fenomena `setinggan pencakar langit' yang baru ini.

Pendekatan bahawa rumah yang besar dan selesa adalah satu kemewahan adalah peninggalan daripada pemikiran zaman penjajah di mana kaum penjajah sengaja memaksa orang lain duduk dalam rumah kecil di ladang dan perumahan kerajaan tetapi mereka sendiri duduk di rumah banglo. Istilah banglo pun adalah ciptaan penjajah juga. Sewaktu kita dijajah tiada taman taman perumahan dibina tetapi setelah negara kita merdeka, beratus taman perumahan muncul untuk memenuhi hasrat rakyat mempunyai perumahan yang
selesa.

Kita membina banyak jalan baru di semua tempat termasuk kawasan terpencil. Ia tidak bermaksud bahawa kawasan luar `bandar atau negeri yang kurang maju memerlukan jalan yang kecil saja. Jalan yang dibina biasanya adalah sama besar di semua tempat. Ini adalah kerana jalan raya tidak dilihat sebagai satu kemewahan tetapi sebagai satu keperluan.

Begitu juga kita perlu meletakkan syarat perumahan kos rendah supaya semua apartmen kos rendah mempunyai sekurang-kurangnya tiga bilik tidur dalam rumah yang luasnya tidak kurang daripada seribu kaki persegi. Ini akan naikkan sedikit harga rumah kos rendah tetapi yang lebih penting ialah ia akan `bantu mengelakkan berbagai-bagai jenis masalah sosial yang bakal timbul daripada perumahan yang sesak dan kurang selesa.

Kerajaan juga menghadapi masalah menyiapkan perumahan kos rendah yang selesa kerana kontraktor yang diberi projek pembinaan rumah kos rendah sering bankrap atau lari meninggalkan projek menjadi terbengkalai. Masalah ini berpunca daripada pelbagai jenis sebab tetapi yang utama sekali ialah tiada disiplin menjaga kewangan dan alir tunai oleh kontraktor berkenaan.

Mereka lebih suka menikmati keuntungan yang berlebihan sebelum projek selesai. Bayaran pendahuluan dan bayaran mengikut jadual yang dibuat oleh kerajaan digunakan untuk tujuan lain yang menyebabkan projek kekurangan kewangan untuk membayar gaji pekerja dan kos bahan binaan.

Satu cara yang amat berkesan untuk mengurangkan kemungkinan projek terbengkalai yang penulis sendiri pernah mengamalkannya sebagai ahli perbankan dulu ialah dengan penggunaan surat jaminan saja iaitu surat jaminan bank (bank guarantee) ataupun jaminan kerajaan (Government guarantee).

Mengikut kaedah ini, melainkan sedikit wang pendahuluan tidak melebihi lima peratus kos projek, kontraktor tidak mendapat sebarang bayaran tunai daripada kerajaan. Sebaliknya kerajaan mengeluarkan surat jaminan (Government guarantee) dan berjanji akan menyelesaikan semua pembayaran yang telah dipersetujui tetapi hanya setelah projek siap dibina dalam tempoh tertentu. Surat jaminan kerajaan ini boleh digunakan sebagai cagaran untuk mendapatkan pinjaman bank.

Ini bermaksud bahawa jika projek itu terbengkalai atas apa sebab pun pihak kontraktor yang akan menanggung rugi. Pihak kerajaan boleh mengambil alih projek itu tanpa mengalami kerugian tunai atau kelewatan masa kerana tanah projek bebas daripada pegangan bank.

Sehingga sekarang terlalu banyak projek terbengkalai mengambil masa sehingga berbelas tahun untuk memulihkannya kerana tanah projek selalu dicagarkan kepada pihak bank yang terpaksa menghadiri perbicaraan mahkamah mengikut peruntukan Akta Perbankan Dan Institusi Kewangan (BAFIA), Kanun Tanah Negara dan sebagainya.

Pendekatan seperti ini akan menyebabkan kontraktor mengamalkan disiplin yang lebih tinggi untuk menyiapkan projek kerana mereka tidak boleh `menikmati keuntungan' tunai sebelum projek siap.

Cara ini mungkin membebankan kontraktor kecil tetapi tidak patut menyusahkan kontraktor Kelas A dan sebagainya kerana mereka perlu mempunyai kewangan dan kemampuan yang lebih besar. Projek perumahan kos rendah lazimnya diberikan kepada kontraktor Kelas A.

Kesimpulannya menyediakan perumahan yang selesa kepada rakyat menjadi satu tanggungjawab besar bagi sebuah kerajaan Islam yang memerintah negara. Perumahan yang selesa boleh menyelamatkan generasi muda daripada terjebak dalam aktiviti yang kurang sihat dan seterusnya membantu kita mengelakkan berbagai-bagai jenis bencana sosial daripada berlaku.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.