This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Empat blok rumah pangsa selamat

15/12/2003 Berita Harian

MELAKA: Kerajaan negeri mengesahkan empat blok Rumah Pangsa Batu Berendam, dekat sini selamat diduduki meskipun ada rekahan besar di jalan raya belakang kawasan terbabit akibat jengkaut yang tenggelam.

Berikutan itu, seramai 280 keluarga yang tinggal di 70 unit rumah pangsa lima tingkat itu diminta tidak panik atau bimbang terhadap keselamatan masing-masing dan boleh terus tinggal di situ.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, berkata laporan awal Institut Kejuruteraan Malaysia cawangan Melaka mendapati struktur asas kelima-lima bangunan itu kukuh dan selamat diduduki.

"Pemeriksaan mendapat rekahan tanah di jalan raya tidak memberi kesan kepada bangunan dan ia selamat untuk diduduki, dan kerana itu kita minta penduduk tidak panik sehingga mengambil keputusan berpindah dan meninggalkan rumah masing-masing hanya kerana masalah ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke kawasan jengkaut tenggelam di bahagian belakang Rumah Pangsa Batu Berendam iaitu berhampiran kawasan pembinaan perumahan Taman Acasia.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Wira Poh Ah Tiam; wakil Institut Kejuruteraan Malaysia cawangan Melaka, Othman Abdul Rahman dan Pengarah Kejuruteraan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Rafiee Mamat.

Selasa lalu, beberapa penduduk di Rumah Pangsa Batu Berendam mengemukakan aduan mengenai rekahan sebesar tiga meter dalam dan lebar di jalan raya belakang kawasan kediaman mereka.

Difahamkan, kejadian itu berpunca selepas satu jengkaut yang digunakan untuk kerja tanah di kawasan Projek Perumahan Taman Acasia dekat situ, tenggelam sejak dua minggu lalu.

Berikutan itu, Poh dilaporkan berkata, pemaju memutuskan untuk menghentikan usaha mengeluarkan jengkaut itu, sebaliknya kontraktor akan terus menanamnya, meskipun kerugian kira-kira RM200,000.

Sementara itu, Mohd Ali berkata, pihaknya sudah mengarahkan pegawai dari Jabatan Geologi memeriksa keadaan dan struktur tanah di situ bagi memastikan kejadian yang berlaku tidak memberi kesan jangka panjang terhadap kawasan terbabit.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.