This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

DBKL tumpu pembangunan

06/12/2003 Harian Metro

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menumpukan bidang pembangunan berbanding pengurusan dalam Bajet DBKL 2004 bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada warga kota.


Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Shaid Mohd Taufek berkata, dari jumlah jangkaan perbelanjaan RM2,073,795,080 sejumlah RM1,173,005,900 diperuntukkan untuk belanja pembangunan berbanding RM900,789,180 untuk belanja mengurus manakala RM320,560,000 diperuntukkan sebagai emolumen.


Menurutnya, Bajet DBKL 2004 meningkat sebanyak 14.2 peratus atau RM257,870,390 berbanding 2003 dengan belanja pembangunan meningkat 26.48 peratus kepada RM255,585,280 sementara belanja pengurusan hanya meningkat 1.38 peratus kepada RM12,285,110.


"Peningkatan belanja pembangunan yang besar bagi menambah kemudahan dan keselesaan warga kota. Ini membuktikan DBKL amat prihatin terhadap keperluan rakyat Kuala Lumpur," katanya ketika membentangkan Bajet DBKL 2004, di sini, semalam.


Perbelanjaan pembangunan membabitkan infrastruktur sebanyak 49.25 peratus, kemudahan lalu lintas (21.65 peratus), pembangunan masyarakat, komuniti dan perkhidmatan (19.36 peratus), pelbagai (7.87 peratus) dan pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi (1.88 peratus).


Perbelanjaan pengurusan dibahagikan kepada lima sektor iaitu perkhidmatan sebanyak 82.7 peratus, penguatkuasaan (8.51 peratus), pelancongan (4.24 peratus) latihan dan penempatan (2.61 peratus) dan perkhidmatan ICT (1.94 peratus).


Malah bajet kali ini dilihat positif berikutan kejayaan DBKL menghasilkan lebihan sebanyak RM5,456,791 berbanding tahun sebelumnya yang mencapai tahap seimbang.


"Bagaimanapun lebihan hasil itu tidak bermakna DBKL mempunyai sumber berlebihan untuk mudah digunakan tetapi mengamalkan perbelanjaan berhemah.


"DBKL sebagai pihak berkuasa tempatan perlu berdikari dari segi kewangan dan tidak memperolehi sebarang peruntukan dari Kerajaan Persekutuan melainkan bagi projek Kerajaan Persekutuan sendiri di mana DBKL bertindak sebagai pelaksana," katanya.


DBKL juga tidak bercadang menaikkan kadar cukai pintu bagi tahun Bajet 2004 dan nilai hartanah berikutan ekonomi Kuala Lumpur yang masih belum kukuh dan pada masa sama kedudukan kewangan DBKL berada pada tahap yang baik.


Sementara itu, Ahli Lembaga Penasihat DBKL, Tan Sri Lee Lam Thye, memuji bajet berkenaan yang berjaya menghasilkan lebihan kali pertama sejak sepuluh tahun beliau memegang jawatan berkenaan.


"Bajet ini turut memberi tumpuan kepada khidmat masyarakat dengan adanya kemudahan untuk mengadakan pusat komuniti, taman awam, kemudahan kampung, rekreasi, padang awam dan pusat harian warga tua dan ini adalah salah satu perkembangan positif yang dialu-alukan masyarakat Kuala Lumpur.


"Saya harap dengan keutamaan kepada penguatkuasaan dalam bajet itu, semua aspek penguatkuasaan dapat dipertingkatkan supaya dapat menangani masalah orang ramai yang melakukan pelbagai kesalahan," katanya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.