This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

100 pembeli kecewa rumah retak, bocor
Berita Harian 21/11/2003

KLANG: Kira-kira 100 pembeli rumah Taman Andalas Jaya, Fasa 3 mendakwa menjadi mangsa sikap tidak bertanggungjawab pemaju apabila mendapati kediaman mereka dibina tidak mengikut pelan dan spesifikasi asal, sehingga ada di antaranya retak dan bocor.

Penduduk menyedari terdapat beberapa perbezaan antara rumah mereka dengan spesifikasi yang dinyatakan dalam Surat Perjanjian Jual Beli (S&P). Mereka juga kecewa kerana rumah yang dibeli pada harga minimum RM159,800 itu dibina daripada bahan bermutu rendah sehingga menyebabkan dinding retak, tandas bocor dan tersumbat, manakala soket elektrik pula rosak.

Pengerusi Persatuan Penduduk, Muda Ibrahim, berkata pembeli terbabit sudah menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat perkara itu.

"Kita dapati pemaju meminda pelan asal tanpa memaklumkan kepada penduduk. Kini ada rumah yang retak sehingga penduduk bimbang berlaku kejadian buruk yang boleh mengancam nyawa.

"Kita juga hairan bagaimana sijil layak menduduki (CF) projek itu diluluskan sedangkan pelan serta binaan fizikal yang dilakukan melanggar syarat seperti yang terkandung dalam pelan dan Surat Perjanjian Jual Beli," katanya dalam satu pertemuan dengan penduduk.

Muda berkata, beberapa pembeli sudah melaporkan kecacatan binaan rumah itu kepada pemaju pada 1999 dan aduan juga dikemukakan kepada Kementerian Perumahan dan kerajaan tempatan pada 2001.

"Malah, kita sudah melaporkan kes ini kepada Pejabat Menteri Besar pada tahun 2001. Kita dimaklumkan kedua pihak sudah mengarahkan pemaju terbabit bertindak terhadap aduan penduduk.

"Bagaimanapun, pemaju menafikan segala aduan itu dan masalah itu terpaksa kami tanggung sehingga sekarang. Kalau pemaju boleh mengenepikan arahan kerajaan negeri dan kementerian, kepada siapa lagi kami nak mengadu?" kata beliau.

Muda berkata, penduduk tidak akan berasa ditipu sekiranya rumah yang dibeli dengan harga semahal itu, memuaskan hati dan sepadan dengan harganya.

"Tetapi nampaknya, pemaju menyiapkan rumah itu sambil lewa, dengan kemasan akhir (finishing) tidak sempurna. Kami hanya menuntut keadilan dan hak kami sebagai pembeli. Kami percaya ada unsur penipuan, terutama membabitkan struktur binaan dan saiz rumah yang disiapkan, berbanding ukuran asal," katanya.

Sementara itu, jurucakap Glomac Homes Sdn Bhd, yang memajukan projek itu, ketika dihubungi enggan mengulas lanjut kecuali berkata syarikat itu sudah ditukar nama kepada Andalas Homes.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.