This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Pembeli gelisah rumah lewat disiapkan
Berita Harian 11/06/2002

SERDANG, Isnin-Seramai 1,369 pembeli unit kedai apartmen dan pangsapuri kos sederhana di Seksyen 5 , Serdang Perdana dekat sini, berharap projek pembangunan yang terbengkalai sejak November lalu, dapat diteruskan semula,secepat mungkin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Kembangan ,Datuk Liew Yuen Keong ,berkata projek berkenaan terpaksa ditangguhkan berikutan syarikat induk pemaju , Hiap Aik Construction Bhd menghadapi masalah kewangan , menyebabkan projek itu terpaksa diambil alih oleh Pengurusan Danaharta Nasional Bhd ( Danaharta ) iaitu agensi kerajaan yang bertanggungjawab mengurus aset bermasalah.

Katanya ,Danaharta perlu menyelesaikan masalah pembeli dengan segera bagi mengelakkan kerugian kerana mereka (pembeli) terpaksa membayar faedah bagi pinjaman perumahan kepada institusi kewangan , walaupun projek itu kini tertangguh.

“Projek ini dimulakan pada Julai 1998 dan semua unit sepatutnya siap dan diserahkan kepada pembeli akhir tahun lalu, tetapi kini tujuh bulan sudah berlalu dan unit kedai apartmen dan pangsapuri masih belum siap.

“Saya sudah menghantar surat kepada pemaju, Green Crescent Resources Sdn Bhd , Disember lalu meminta menjelaskan status sebenar projek berkenaan dan sebulan selepas itu pemaju memberitahu bahawa mereka akan meneruskan semula projek pada Mac 2002.

“Tetapi malangnya, notis dikeluarkan pada 2 April lalu, menyatakan semua urusan berkaitan syarikat induk pemaju akan dikendalikan oleh dua pengurus khas yang sudah dilantik oleh Danaharta.

Kedua-dua pengurus ini bertanggungjawab melantik pemaju baru bagi meneruskan semula projek terbengkalai ini, “katanya pada pemberita selepas meninjau tapak projek itu di Seksyen 5 , Serdang Perdana di sini, hari ini.

Beliau berkata , keseluruhan projek yang membabitkan 1,369 unit kedai apartmen dan pangsapuri kos sederhana hanya siap antara 80 hingga 85 peratus.

Katanya , daripada jumlah itu , sebanyak 857 unit adalah kedai apartmen dan selebihnya , dua pangsapuri kos sederhana masing-masing membabitkan 192 unit dan 320 unit , bernilai antara RM68,000 hingga RM249,000.

Liew juga meminta pembeli membentuk jawatankuasa baru kerana ia akan memudahkan mangsa terbabit menyuarakan masalah yang dihadapi kepada Danaharta dan pemaju baru yang akan dilantik bagi memulihkan semula projek berkenaan.

“Selepas berbincang dengan lebih 50 pembeli ini, saya meminta mereka membentuk jawatankuasa baru .Saya juga akan mengadakan pertemuan dengan Pengarah Bahagian Pengawasan dan Penguatkuasaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan , Danaharta dan dua pengurus khas itu,” katanya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.