This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

'Usah terima kunci sebelum rumah siap'
Berita Harian 18/05/2002

KUALA LUMPUR, Jumaat - Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting hari ini menasihatkan pembeli tidak menerima kunci sebelum projek perumahan siap sepenuhnya.

Beliau berkata, pemaju tidak boleh menyerahkan kunci kepada pembeli sebelum projek perumahan siap sepenuhnya walaupun rumah itu sudah menerima bekalan air dan elektrik.

"Banyak projek perumahan yang terbengkalai ketika krisis ekonomi melanda negara pada 1997 dan ada sebahagian pemaju mengambil kesempatan terhadap kelemahan undang-undang lama dengan menyerahkan kunci kepada pembeli tanpa menyiapkan rumah sepenuhnya.

"Mengikut Akta Pemaju Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) pindaan 2002 yang diwartakan 31 Januari lalu, kami tidak membenarkan mereka menyerahkan kunci kecuali sudah memenuhi syarat yang ditetapkan semua jabatan teknikal utama," katanya.

Ong berkata demikian selepas menyerahkan pinjaman pendidikan Koperasi Jayadiri Malaysia Bhd (Kojadi) kepada 243 lepasan diploma dan diploma lanjutan Kolej Tunku Abdul Rahman yang akan melanjutkan pelajaran ke United Kingdom serta melancarkan sijil ISO 9001:2000 di sini, hari ini.

Pemaju hanya boleh menyerahkan kunci kepada pembeli selepas mendapat kelulusan tujuh jabatan teknikal termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Bekalan Air, Jabatan Bekalan Elektrik serta Jabatan Kerja Raya.

Beliau berkata, pihaknya dengan kerjasama Syarikat Perumahan Negara di bawah Kementerian Kewangan mengambil alih sesetengah projek terbengkalai yang masih berpotensi untuk dimajukan.
Katanya, keutamaan itu diberikan kepada projek yang hampir siap berikutan kebanyakan pembelinya membayar hampir 80 atau 90 peratus pinjaman perumahan.

Beliau berkata, sejak dua tahun lalu, kementeriannya hanya mengeluarkan lesen kepada pemaju selepas mereka memenuhi syarat yang ditetapkan pihak berkuasa terbabit dan jawatankuasa pemantauan turut ditubuhkan untuk menangani masalah projek terbengkalai.

"Kementerian sudah cuba menyelesaikan masalah projek terbengkalai, tetapi ada pemaju yang menghadapi masalah kewangan sehingga diisytihar muflis atau hartanah mereka sudah diambil alih Pengurusan Danaharta Nasional Bhd (Danaharta)," katanya.

Terdahulu, Ong yang juga Naib Presiden MCA berharap lebih banyak koperasi dan sektor swasta mengikut jejak Kojadi untuk melahirkan lebih ramai pekerja berpengetahuan dan mahir untuk membangunkan negara ini.

Beliau berkata, langkah Kojadi juga boleh membantu negara mencapai matlamat mempunyai 30 peratus rakyat yang mendapat pendidikan tinggi menjelang 2010.

Sementara itu, Naib Presiden Kojadi, Tan Kim Leong, berkata kadar pembayaran pinjaman yang diberikan pihaknya mencapai 99 peratus dan ada pula membayar lebih daripada pinjaman mereka.

Beliau berkata, pinjaman yang diberikan kali ini ialah RM4.615 juta dengan setiap pinjaman menerima antara RM10,000 hingga RM20,000.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.