This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Realiti kuota rumah
18/04/2002 Utusan Malaysia

Dasar pemilikan rumah yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan bahawa setiap projek perumahan wajib menyediakan 30 peratus unit rumah untuk dibeli oleh kaum bumiputera nampaknya diungkitkan semula oleh pemaju perumahan.
Sudah beberapa kali pemaju perumahan memalukan gendang mendakwa peruntukan kuota 30 peratus unit perumahan menimbulkan masalah dan merugikan mereka kerana mendakwa ia tidak dibeli oleh bumiputera.

Ada pihak melihat apa yang tersirat ialah mungkin pemaju berkenaan mahu kerajaan mengubah dasar dan membenarkan mereka menjual kuota untuk bumiputera kepada bukan bumiputera. Mereka percaya jika dibuka kepada pembeli bukan bumiputera, masalah rumah yang tidak terjual itu boleh diselesaikan.

Setakat ini belum ada kajian dan siasatan terperinci dijalankan bagi menyokong dakwaan pemaju perumahan. Kerajaan negeri Selangor pula baru sahaja menubuhkan jawatankuasa untuk menyiasat dan mengkaji rungutan pihak pemaju ini, dan dipercayai laporannya akan siap dalam tempoh dua bulan lagi.

Apa yang kita dengar daripada rungutan pemaju ialah kesukaran mereka menjual kuota bumiputera walaupun tiada sebarang aduan rasmi dibuat.

Menurut Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk Eddy Chen Lok Loi, masalah kegagalan menjual lot bumiputera hanya berlaku di sesetengah tempat saja. Dan kes ini hanya melibatkan jenis perumahan tertentu sahaja seperti rumah pangsa atau pangsapuri.

Secara umum katanya, masalah ini tidak ketara wujud di seluruh negara kecuali negeri seperti Melaka, Johor dan Pulau Pinang terutama projek perumahan di kawasan berdekatan dengan Kampung Baru Cina. Kebanyakan pembeli bumiputera, lebih gemar memilih kediaman di kawasan yang mempunyai kemudahan beribadat dan dekat dengan saudara-mara.

Menurut Chen, pembeli bumiputera juga lebih gemarkan kediaman mempunyai tanah dan masalah ini tiada kaitan dengan harga kediaman.

Bagi pemaju yang menghadapi masalah ini, mereka mendakwa keadaan tersebut berlaku kerana pembeli bumiputera tidak berminat dengan jenis rumah yang dibina selain bilangan kecil penduduk bumiputera di beberapa kawasan projek perumahan. Ini menyebabkan kuota 30 peratus itu tidak dapat dipenuhi.

Ketika pemaju tertentu mendakwa kuota 30 peratus bumiputera sukar dipenuhi, ada juga dakwaan yang mengatakan terdapat pembeli bumiputera sukar membeli rumah di kawasan-kawasan tertentu, terutama di Lembah Klang. Perkara ini berlaku kerana kuota bumiputera dengan begitu pantas sudah habis ditempah sedangkan promosi penjualan sesetengah projek itu baru sahaja diiklankan.

Dalam hal ini pembeli bumiputera sudah tentu tertanya-tanya, apakah benar unit rumah yang mereka mampu miliki dengan begitu cepat sudah habis ditempah? Apakah ini salah satu taktik pemaju yang tamak hingga mengetepikan peranannya dalam memupuk perpaduan kaum dalam projek perumahan mereka? Atau mungkin pemaju tertentu itu sengaja memberi pelbagai alasan tentang kelarisan jualan projek perumahan mereka atas sebab-sebab tertentu.

Tetapi agak memeranjatkan kita apabila ada juga pemaju yang mendakwa dengan menyediakan tawaran potongan harga tujuh hingga 10 peratus pun amat sukar dijual hingga membebankan mereka. Ini menyebabkan mereka mahu kuota 30 peratus itu dikaji dengan harapan ia dikurangkan.

Jika apa yang didakwa oleh pemaju itu berasas, puncanya perlu disiasat. Banyak sebab boleh diberikan apabila sesetengah projek itu gagal menarik minat pembeli bumiputera. Misalnya melihat faktor geo-politik, lokasi projek perumahan tidak strategik, faktor majoriti kaum, kurangnya kemudahan asas, kekurangan skim pembiayaan yang menarik atau lain-lain.

Walau apa pun, desakan pemaju perumahan yang mempunyai masalah menjual kuota bumiputera menampakkan kesannya apabila Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk M. Kayveas baru-baru ini berkata bahawa kuota 30 peratus rumah bagi bumiputera mungkin akan dikurangkan jika didapati ia membebankan pemaju.

Menurut Kayveas, sebelum memutuskan perkara berkenaan kementerian akan menunggu laporan daripada kerajaan negeri Selangor yang sedang menyiasat sama ada kuota bumiputera itu benar-benar tidak dijual.

``Selepas menerima laporan itu kementerian akan mengadakan perbincangan dengan semua kerajaan negeri untuk memutuskan sama ada kuota berkenaan perlu dikurangkan atau tidak,'' katanya.

Dalam hubungan ini Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sepatutnya berhati-hati dan tidak tergesa-gesa membuat keputusan berhubung soal kuota ini.

Kenyataan Timbalan Menteri Perumahan bahawa 30 peratus kuota milik bumiputera wajar dikurangkan perlukan kajian dan tinjauan pendapat daripada calon-calon pembeli rumah, terutama bumiputera.

Sebelum membeli rumah, kebanyakan pembeli bumiputera membuat pertimbangan seperti harga, jumlah penduduk Melayu, lokasi, jenis tanah, cukai, kemudahan asas, jarak dari sekolah dan pekan.

Kebanyakan rumah di tanah pegangan bebas yang dimajukan oleh pemaju bukan bumiputera dibeli oleh bukan Melayu kerana harganya lebih mahal daripada tanah berstatus pajakan atau rizab Melayu.

Malah ada lokasi sudah dikhaskan awal-awal lagi oleh pemaju untuk golongan bumiputera iaitu rumah di luar faktor fengsui atau tuah menurut kepercayaan masyarakat Cina. Antaranya ialah rumah di simpang tiga, berhampiran loji rawatan najis dan pencawang elektrik.

Sebenarnya banyak pihak keliru tentang kuota 30 peratus untuk pembeli bumiputera. Malah banyak pemaju yang kurang faham mengenai sistem kuota rumah bumiputera. Kerajaan perlu menjelaskan kembali bahawa 30 peratus adalah kuota minimum, maknanya jika jumlah 30 peratus sudah habis dijual, pemaju masih boleh menjual kepada bumiputera juga.

Kuota 30 peratus seboleh-bolehnya perlu dikekalkan bagi menjamin tiada sesuatu kawasan yang hanya diduduki oleh kaum tertentu sahaja.

Ini memandangkan ada sesetengah pemaju yang memberitahu pembeli bumiputera kononnya semua unit sudah dijual dan pada masa yang sama memberi alasan kepada kerajaan negeri bahawa ia gagal menjual unit bumiputera berkenaan.

``Mereka mungkin menggunakan taktik itu bagi membolehkan unit berkenaan dijual pada harga penuh kepada bukan bumiputera,'' kata Presiden Persatuan Pembeli Rumah Malaysia, Datuk Zainuddin Bachik .

Dalam mengelak kerajaan daripada terpaksa mengubah dasar perumahannya akibat masalah yang masih diragui kesahihannya, beliau mencadangkan supaya kerajaan negeri mengambil alih penjualan rumah di bawah kuota 30 peratus bumiputera yang didakwa gagal dijual oleh pemaju tertentu itu.

Ini langkah positif sebelum kerajaan meluluskan pengubahan taraf kuota itu.

Menurut Zainuddin, ini bertujuan menghalang pemaju menggunakan alasan unit berkenaan tidak dapat dijual sedangkan mereka sebenarnya mahu mengelak daripada menjual unit berkenaan pada diskaun tujuh peratus kepada bumiputera.

Apa pun Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan harus melihat kemungkinan wujudnya diskriminasi yang tidak adil dalam projek perumahan.

Apakah wujud sentimen pemaju tertentu yang hanya mahu menjual rumah mereka kepada kaum mereka saja kerana faktor strategi politik untuk menyusun taburan pengundi mengikut kaum. Oleh itu kerajaan perlu mengambil langkah awal bagi mengelak taburan kaum yang tidak seimbang.

Malah yang tidak kurang penting ialah memastikan kuota 30 peratus itu tidak menempatkan penduduk bumiputera di kawasan yang tersorok dan kurang maju.
 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.