This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Projek jadi belukar
14/02/2002 Harian Metro

KAJANG: Lebih 100 unit rumah kos sederhana di Taman Kantan Permai, di sini, yang tidak disiapkan pemaju kira-kira 10 tahun lalu kini ditumbuhi semak-samun dan belukar, menjadi sarang binatang berbisa seperti ular.


Tinjauan Harian Metro, di kawasan itu semalam, mendapati projek rumah tingkat itu dalam peringkat akhir untuk disiapkan. Angkara pemaju bermasalah, projek itu terbengkalai, hingga keadaannya berubah wajah kepada belukar.


Lokasinya berhampiran dengan Sekolah Kebangsaan Kantan Permai, justeru jika keadaannya dibiarkan berterusan, pasti ia boleh menjejaskan imej sekolah yang tersergam indah itu, selain menakutkan murid yang berulang-alik setiap hari.


Kakitangan kerajaan, Hasan Mohamad, 47, berkata projek perumahan yang terbengkalai itu adalah peringkat kedua, yang dijangka siap selewat-lewatnya pada tahun 1996 lalu, tetapi hingga kini belum mendapat perhatian pemaju.


"Saya sekarang tinggal di rumah fasa pertama yang siap pada tahun 1989.


Jika diikutkan janji pemaju sebelum ini rumah di fasa kedua itu siap kira-kira lima tahun lalu, tetapi hingga kini tiada sebarang perkembangan positif mengenainya," katanya.


Menurutnya, pengabaian pemaju terhadap projek perumahan terbabit menimbulkan keluhan dan rasa tidak puas hati di kalangan pembeli, kerana mereka terpaksa juga membayar kepada pihak bank kira-kira RM400 setiap bulan.


"Orang yang membeli rumah itu pun mengeluh kerana gaji mereka dipotong, tetapi rumah yang dibayar itu tidak boleh diduduki, kerana belum siap sepenuhnya. Mereka sudah bersemuka dengan pihak pemaju tetapi hingga kini tiada penyelesaiannya," katanya.


Kakitangan swasta, Jamil Mohamad, 38, berkata hingga sekarang perkembangan mengenai projek itu tidak dapat diketahui, tambahan pula apabila pejabat pemaju sedia ada di taman berkenaan kini sudah ditutup, menyukarkan lagi pembeli untuk membuat aduan dan pertanyaan.


"Difahamkan pemaju projek terbabit silih berganti, tetapi tidak juga menampakkan perubahan. Hingga kini masalah berkenaan tidak dapat diselesaikan, sedangkan rumah yang dibina itu makin kelihatan lusuh," katanya.


Katanya, kawasan itu berpotensi besar untuk dimajukan sebagai penempatan penduduk, memandangkan ia berdekatan dengan pusat bandar, memudahkan sebarang urusan penduduk, justeru sebenarnya tiada alasan bagi pemaju mengabaikan projek berkenaan.


"Di sini terdapat kira-kira 400 buah rumah yang sudah siap. Daripada jumlah itu 10 peratus masih kosong. Ramai orang yang tidak mengetahui kawasan ini mempunyai banyak rumah. Di sini kemudahan awam seperti bas juga ada.


"Jika projek perumahan itu dapat disiapkan segera ia dapat mengindahkan lagi suasana di taman ini, sekaligus menarik lebih ramai orang untuk menetap di sini," katanya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.