| 40 peratus permis tiada sijil menduduki Berita Harian 28/11/2002
 SHAH ALAM, Rabu – Kira-kira 40 peratus daripada bangunan di kawasan Ampang jaya tidak mempunyai Sijil Kelayakan 
										Menduduki (CF).
 Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, berkata ia kerana pemaju atau pemilik rumah tidak menghantar atau lewat 
										mengemukakan pelan bangunan bagi mendapatkan CF.
 
 Beliau berkata, tiga kategori bangunan di kawasan itu yang tiada CF, iaitu bangunan lama, bangunan yang dibina terlebih dulu dan 
										permohonan mendapatkan CF dihantar kemudian serta bangunan yang diubah suai tanpa pelan.
 
 “Kita berharap pemilik bangunan segera menghantar pelan bangunan untuk kelulusan CF. Jika mengikut undang-undang, semua boleh 
										dikenakan tindakan, tetapi berpegang kepada konsep Kerajaan Prihatin, kita beri mereka peluang,” katanya.
 
 Beliau berkata, kerajaan memberi tempoh dua minggu kepada jawatankuasa pemaju dan pemilik tanah sekitar Taman Hillview, Bukit 
										Antarabangsa, Ukay Perdana dan Dataran Ukay membuat keputusan mengenai pembangunan yang hendak dijalankan sekitar kawasan itu.
 
 Katanya, jawatankuasa yang dianggotai kira-kira 20 pemaju dan pemilik tanah kawasan itu ditubuhkan selepas kerajaan mengadakan 
										perbincangan dengan mereka hari ini.
 
 Jawatankuasa itu dipengerusikan bersama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan Pegawai Daerah Gombak, manakala Institut 
										Kerja Raya Malaysia (Ikram), Jabatan Mineral dan Geosais serta Institut Kejuruteraan sebagai perunding.
 
 Katanya, pihak berkenaan boleh membangunkan kawasan itu , tetapi secara kepadatan rendah, iaitu hanya membina banglo dan bukan 
										perumahan teres atau kondominium.
 
 “Pemaju dan pemilik tanah perlu membuat keputusan sama ada mahu membangunkan tanah secara satu pakej dan jika tidak mampu, 
										menyerahkannya balik kepada kerajaan negeri.
 
 “Jika diserah kepada kerajaan, kita majukan kawasan itu bersama syarikat lain secara pakej dengan perumahan kos tinggi yang 
										berkepadatan rendah,” katanya selepas mesyuarat Exco, di sini hari ini.
 
 Dr Mohamad Khir berkata, selain membangunkan kawasan itu secara berkepadatan rendah, pemilik tanah dan pemaju perlu menyelenggara 
										dinding penghadang konkrit dengan baik.
 
 Beliau berkata, walaupun dalam perbincangan hari ini pemaju dan pemilik tanah tidak memberikan maklum balas, kerajaan memberi 
										tempoh dua minggu kepada mereka.
 
 Dalam pada itu, beliau berkata, walaupun kerajaan mengumumkan kawasan Bukit Antarabangsa, Taman Hillview, Dataran Ukay dan Ukay 
										Perdana selamat selepas mendapat laporan siasatan, penduduk dinasihatkan terus memantau pergerakan tanah.
 
 Beliau bimbang dengan dua blok Highland Towers yang terbiar dan dikhuatiri runtuh serta menimpa rumah berhampiran.
 
 Ditanya kemungkinan bangunan itu diruntuhkan, Dr Mohamad Khir berkata, kerajaan negeri perlu mendapatkan pandangan profesional.
 
 Mengenai sama ada kerajaan negeri mengambil alih penyelenggaraan kawasan bukit itu jika pemaju atau pemilik tanah gagal berbuat 
										demikian, Dr Mohamad Khir berkata, ia mustahil kerana membabitkan kos tinggi untuk menggantikan semula dinding penghadang konkrit.
 |