This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Bimbang flet runtuh
Berita Harian 07/10/2002

CHERAS: Keselamatan kira-kira 400 penghuni rumah Flet Pendekar 9, Taman Tun Perak, berada dalam bahaya berikutan kejadian rekahan tanah pada jalan raya bersebelahan, semalam.

Kejadian bermula jam 1 tengah hari itu hanya disedari penduduk apabila mereka melihat jaluran rekahan pada permukaan jalan sepanjang 30 meter bermula dari tebing bukit hingga ke longkang flet berkenaan.

Rekahan itu membesar dan mendap sedikit demi sedikit hingga menyebabkan penduduk bimbang flet berkenaan runtuh secara tiba-tiba.

Pengerusi Penduduk Taman Tun Perak, Mohd Hashim Mohd Isa, 45, berkata, kejadian itu dipercayai berpunca daripada kerja menggali parit di Taman Lagenda Emas di cerun tebing kawasan flet berkenaan.

"Kerja mengorek itu menyebabkan aliran air terlalu deras di lereng bukit berkenaan ketika hujan.

"Dalam tempoh tidak sampai sembilan jam, penduduk mendapati jalan raya di kawasan berkenaan mula merekah sedalam empat meter.

"Tanah di kawasan itu boleh runtuh dengan lebih cepat jika hujan pagi ini," katanya di tempat kejadian.

Hashim yang sudah mendiami kawasan itu sejak setahun lalu, berkata pihaknya sudah membuat aduan kepada wakil pemaju perumahan petang semalam.

Setiausaha Persatuan Penduduk Perumahan Polis Taman Desa Baiduri, Abdul Majid Kasim, 40, berkata, pihaknya bimbang jika berlaku tanah runtuh boleh membahayakan struktur binaan flet itu yang menempatkan 80 rumah.

"Saya pasti flet ini boleh condong dan runtuh jika mendapan tanah gagal dihentikan.

"Kita mahu pihak berkuasa bersikap serius terhadap perkara ini dan tidak hanya bertindak apabila ada nyawa yang terkorban," katanya.

Ahli Parlimen Serdang, Datuk Yap Pian Hon yang melawat ke tempat kejadian turut melahirkan rasa bimbang dengan kejadian itu.

Beliau menasihati penduduk agar menghubungi pihak berkuasa tempatan (PBT) polis dan bomba sebagai langkah persediaan menghadapi bencana.

"Saya harap penduduk dipindahkan segera sebelum tragedi Pangsapuri Highland Towers berulang," katanya.
 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.