Syor 
			mestikan pemaju pasang sistem penggera 
			Berita Harian 08/09/2001 
			 
			KUALA LUMPUR, Jumaat - Kerajaan harus mewajibkan pemaju perumahan 
			memasang sistem penggera kebakaran dan alat pemadam api untuk semua 
			projek perumahan sebagai syarat mandatori. 
			 
			Setiausaha Agung Persatuan 
			Pembeli Rumah Wilayah Persekutuan dan Selangor, Chang Kim 
			Loong, berkata kerajaan harus mensyaratkan semua pemaju memasang 
			peralatan itu sebelum memohon sijil kelayakan menduduki (CF) sebagai 
			langkah pencegahan bagi menjamin keselamatan nyawa dan harta 
			benda. 
			 
			"Apa salahnya mereka membelanjakan kira-kira RM500 untuk setiap 
			rumah sebagai `kemudahan' tambahan kepada pembeli rumah. 
			 
			"Pemaju perumahan tidak sepatutnya mementingkan diri sendiri tanpa 
			memikirkan keselamatan penghuni. 
			 
			"Mereka sudah mendapat keuntungan banyak daripada jualan rumah dan 
			tiada salahnya jika membelanjakan sedikit wang sebagai sumbangan 
			kepada masyarakat dalam membantu mengurangkan kes kebakaran di 
			negara ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 
			 
			Beliau berkata, pengusaha peralatan kebakaran juga harus mengambil 
			inisiatif mengajar pengguna cara mengendalikan alat pemadam api dan 
			sistem penggera kebakaran.  
			 
			Semalam, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Senator 
			Datuk M Kayveas, berkata pemaju perumahan diminta memasang sistem 
			penggera kebakaran sebelum memohon CF demi keselamatan penghuni. 
			 
			Beliau berkata, sikap masyarakat yang sering mengabaikan keselamatan 
			dikenal pasti punca utama berlaku kemalangan jiwa termasuk di premis 
			kediaman. 
			 
			Bagaimanapun, Presiden Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah 
			Malaysia (Rehda), Datuk Eddy Chen Lok Loi, berkata kerajaan harus 
			menggalakkan orang ramai memasang sistem penggera kebakaran dan alat 
			pemadam api di rumah masing-masing, bukannya memaksa pemaju 
			memasangnya kerana ia akan 
			membebankan mereka. 
			 
			Beliau berkata, pemasangan sistem penggera dan alat kebakaran harus 
			dibuat berdasarkan pilihan setiap pemilik rumah. 
			 
			"Satu sistem penggera berharga kira-kira RM100 dan jika ada lima 
			bilik termasuk ruang tamu, maka pemaju terpaksa membelanja lebih 
			RM500 untuk satu rumah," katanya. | 
   
  
    |   | 
   
 
 |