Segerakan 
			pengeluaran CF 
			Harian Metro 29/09/2001 
			 
			SUBANG JAYA: Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor diminta 
			menangani segera sebarang kelewatan berhubung pemberian Sijil Layak 
			Menduduki (CF) kepada pemaju perumahan.Sebarang kelewatan yang disebabkan karenah birokrasi boleh 
			menyebabkan orang ramai hilang keyakinan kepada PBT dalam 
			menyelesaikan masalah dan memburukan lagi keadaan. 
			Timbalan Menteri Besar Selangor, Datuk Dr Zainal 
			Abidin Ahmad, berkata PBT perlu mengurangkan karenah birokrasi di 
			semua peringkat pelbagai jabatan termasuk berkaitan pemberian CF. 
			Katanya, kerajaan Selangor sudah memutuskan untuk 
			mewujudkan satu agensi bagi menyelaraskan pengeluaran CF di semua 
			PBT negeri itu untuk mengatasi masalah CF tertunggak. 
			Agensi berkenaan ditempatkan di semua pihak 
			berkuasa tempatan (PBT) bagi memudahkan pemaju membuat urusan 
			mendapatkan CF tanpa perlu mendapat kelulusan pelbagai jabatan lain. 
			"Jawatankuasa tindakan khas dalam agensi itu akan 
			menentukan sama ada sesuatu projek perumahan layak menerima CF atau 
			sebaliknya. 
			"Pemaju akan menerima kelulusan permohonan CF 
			selepas dua minggu menyerahkan Borang E dan sebarang kelewatan 
			selepas tarikh itu boleh dirujuk kepada agensi berkenaan," katanya. 
			Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar 
			selepas membacakan teks ucapan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr 
			Mohd Khir Toyo di perasmian Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan 
			Perbadanan Perbandaran-Perbandaran (JKPPP) Malaysia ke-2 2001, 
			semalam. 
			Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan 
			dan Kerajaan 
			Tempatan, Datuk Lokman Hakim Mohd Jasan dan Ahli Jawatankuasa Tetap 
			Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Setinggan Selangor, Datuk Mohd 
			Mokhtar Ahmad Dahalan. 
			Agensi itu akan diwujudkan di Majlis Bandaraya, 
			Majlis Perbandaran, 
			Pejabat Daerah dan agensi kerajaan tempatan yang lain. 
			Zainal berkata, bagaimanapun, bagi masalah 
			tertentu yang dianggap penting, keputusan akan dikeluarkan melalui 
			satu mesyuarat semua ketua jabatan yang berkenaan. 
			"Permohonan hanya akan diluluskan apabila semua 
			ketua jabatan teknikal memberi persetujuan ini bermakna masalah 
			kelewatan mendapat CF yang sering berlaku sebelum ini dapat 
			diatasi," katanya. 
			Bagaimanapun, katanya, sekiranya masih ada masalah 
			ketua PBT terbabit akan membawa perkara berkenaan kepada Mesyuarat 
			Tertinggi Negeri Selangor untuk diputuskan oleh kerajaan negeri. 
			Antara syarat utama pemaju perumahan untuk 
			mendapatkan CF ialah mendapat kelulusan Jabatan Perkhidmatan Bomba 
			dan Penyelamat serta disediakan kemudahan elektrik, air dan 
			perkhidmatan pembetungan. 
			Selangor menerima aduan paling tinggi mengenai 
			kelewatan mendapatkan CF iaitu 61 kes, Wilayah Persekutuan (38), 
			Pulau Pinang (13), Johor (12), Negeri Sembilan (11), Perak (sembilan), 
			Melaka (tiga) serta Kedah dan Pahang, masing-masing satu. 
			Kelewatan kelulusan prosedur itu berpunca sama ada 
			pemaju tidak lengkap mengisi Borang E atau tidak mendapat kelulusan 
			jabatan teknikal berkenaan.  |