This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Pemaju gagal patuhi perjanjian boleh didenda RM500,000

Berita Harian 27/09/2001

KUALA LUMPUR, Khamis – Pemaju projek perumahan yang gagal mematuhi terma perjanjian, termasuk gagal menyiapkan projek mengikut jadual, boleh didenda sehingga RM500,000 selain premis perniagaan digeledah bagi mendapatkan bukti untuk tujuan pendakwaan.

Tindakan tegas ini sebahagian cadangan Pindaan Akta Pemaju Perumahan (kawalan dan perlesenan) 1966 yang akan dibentangkan di Parlimen, 8 Oktober depan, bertujuan mengekang kegiatan penipuan membabitkan pemaju perumahan.

Bercakap kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting, berkata hukuman lebih berat dicadangkan berikutan denda sekarang tidak begitu “menakutkan” pemaju.

Beliau berkata, pindaan terhadap Akta 118 dapat menjamin kepentingan pembeli dan memperkukuhkan peranan kementerian dalam memantau serta menguatkuasa undang-undang.

“Ini kerana aduan pembeli terhadap kecuaian atau penipuan pemaju semakin meningkat. Aduan berkenaan membabitkan kecacatan rumah, kelewatan sijil layak menduduki (CF), kelewatan penyerahan rumah dan infrastruktur tidak lengkap,” katanya.

Beliau berkata, keputusan mengenakan hukuman lebih berat itu dipersetujui dalam mesyuarat Kabinet semalam. 

Jumlah aduan terhadap pemaju meningkat daripada 737 kes pada 1997 kepada 1,823 kes tahun lalu.

Ketika ini, pemaju yang didapati bersalah di mahkamah kerana pelbagai kesalahan mengikut akta sedia ada dikenakan denda antara RM10,000 sehingga RM100,000.

Ong berkata, selain kenaikan denda sebanyak lima kali ganda, proses permohonan lesen oleh pemaju turut diperketatkan.

“Pemaju dikehendaki membayar deposit sebanyak RM200,000 sebagai tambahan kepada modal diterbitkan dan modal terkumpul syarikat manakala bagi permohonan individu atau kumpulan, ia dinaikkan daripada RM100,000 kepada RM200,000.

“Pindaan ini bagi memastikan pemaju yang memohon lesen adalah berwibawa dan mempunyai kedudukan kewangan kukuh,” katanya.

Ong berkata, lesen juga tidak akan dikeluarkan kepada pemaju yang dikenakan denda melebihi RM10,000, pengarahnya dikenakan tindakan mahkamah selain arkitek atau juruteranya digugurkan oleh Lembaga Tatatertib Badan Profesional masing-masing.

“Pindaan juga memberi kuasa kepada inspektor perumahan memasuki, menggeledah dan menyita bahan seperti buku akaun bagi tujuan prosiding mahkamah,” katanya sambil menambah, ketika ini, ada pemaju menghalang inspektor daripada memasuki premis selain menyorokkan buku akaun.

Pada masa sama, Ong berkata, Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah akan diwujudkan bagi menyelesaikan tuntutan pembeli terhadap pemaju yang tidak melebihi RM25,000.

“Penyelesaian melalui tribunal dijangka dapat membantu pembeli kerana prosesnya mudah, kos rendah, tidak membabitkan pelantikan peguam dan prosiding mahkamah yang biasanya memakan masa panjang,” katanya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.