This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Pemaju anggap pindaan akta terlalu tegas

29/09/2001 Berita Harian

KUALA LUMPUR, Jumaat – Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) menyifatkan cadangan Pindaan Akta Pemaju Perumahan (kawalan dan perlesenan) 1966 yang akan dibentangkan di Parlimen bulan depan, terlalu ‘tegas’.

Justeru, Presidennya, Datuk Eddy Chen Lok Looi, berkata beliau akan menemui Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting, terlebih dulu bagi membincangkan mengenai perkara berkenaan.

“Buat masa ini, kita belum mengetahui secara mendalam mengenai cadangan berkenaan dan tidak dapat memberi sebarang ulasan. Bagaimanapun cadangan itu terlalu tegas dan kita akan berjumpa dengan Menteri sebelum cadangan berkenaan dibentangkan di Parlimen,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Semalam, Berita Harian melaporkan cadangan pindaan akta itu antara lain menjuruskan pemaju projek perumahan yang gagal mematuhi terma perjanjian, termasuk gagal menyiapkan projek mengikut jadual, boleh didenda sehingga RM500,000 selain premis perniagaan digeledah bagi mendapatkan bukti untuk tujuan dakwaan.

Mengumumkan mengenai cadangan pindaan itu, Ong berkata, antara lain ia bertujuan mengekang kegiatan penipuan membabitkan pemaju perumahan.

Malah jumlah aduan terhadap pemaju meningkat daripada 737 kes pada 1997 kepada 1,823 kes tahun lalu.

Sementara itu, Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Prof Datuk Hamdan Adnan, berkata Rehda seharusnya bersetuju dan menyambut baik cadangan pindaan itu kerana selain mengutamakan pembeli, ia memberikan dorongan kepada pemaju supaya lebih jujur.

“Cadangan pindaan itu harus dijadikan dorongan kepada pemaju untuk bekerja lebih keras, cekap serta amanah. Jika tindakan tegas tidak dikenakan terhadap pemaju (yang menipu), usaha meminda akta bagi melindungi pembeli menjadi sia-sia dan pemaju akan sewenang-wenangnya menipu pembeli.

“Peningkatan jumlah pemaju yang tidak amanah dan menepati kehendak pengguna semakin meningkat setiap tahun dan sudah tiba masanya pemaju dikenakan syarat lebih ketat, tambahan pula rumah yang dijual dibayar harganya oleh pembeli sebelum ia siap sepenuhnya,” katanya.

Prof Hamdan berkata, pada masa sama, kementerian perlu terus memastikan pengguna tidak dibebankan dengan harga rumah yang semakin meningkat kesan cadangan pindaan berkenaan (seperti mengenakan denda atau bayaran deposit lebih tinggi).

“Pembeli juga perlu mengetahui mengenai proses membeli rumah supaya tidak tertipu dengan iklan yang disiarkan,” katanya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.