| 
     Empat projek rumah masih 
    terbengkalai 
    29/09/2001 Berita Harian  
     
    MELAKA, Jumaat - Empat projek perumahan di negeri ini dikenal pasti masih 
    terbengkalai walaupun beberapa usaha sudah dilakukan untuk membolehkan 
    projek itu disambung semula.  
     
    Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, 
    Datuk Mo'min Abdul Aziz, berkata antara projek perumahan itu ialah Taman 
    Seri Bertam, Taman Kota Laksamana dan Taman Sejati Merlimau. 
     
    Katanya, projek terbengkalai itu membabitkan pembinaan 989 unit pelbagai 
    jenis rumah yang sepatutnya sudah didiami beberapa tahun lalu. 
     
    Beliau berkata, daripada jumlah itu, rumah teres satu tingkat membabitkan 
    316 unit, diikuti rumah teres satu setengah setingkat (316), rumah teres dua 
    tingkat (102), rumah kembar dua tingkat (156) dan banglo (29). 
     
    "Beberapa usaha sedang dilakukan untuk membantu pemaju projek terbabit 
    meneruskan pembinaan rumah berkenaan. 
     
    "Antaranya ialah mengadakan perbincangan dengan pemaju bagi mengenal pasti 
    masalah serta cara penyelesaian sebaik mungkin. 
     
    "Selain itu, kerajaan memberi kelonggaran kepada pemaju terbabit untuk 
    membayar premium tanah secara beransur-ansur," katanya. 
     
    Mo'min menjelaskan, kerajaan negeri juga memberi peluang kepada pemaju 
    menyelesaikan masalah yang dihadapi dengan jabatan-jabatan teknikal melalui 
    Jawatankuasa Pusat Ekspres. 
     
    Bagaimanapun, katanya, selepas siasatan dibuat, kerajaan mendapati 
    sebahagian besar projek itu tidak dapat disiapkan adalah kerana menghadapi 
    masalah dalaman. 
     
    Katanya, antara masalah dalaman yang dikenal pasti ialah pemaju kekurangan 
    tenaga kerja, bekalan bahan binaan yang tidak cukup serta tidak mempunyai 
    modal yang mencukupi. 
      
    Sehubungan itu, kerajaan negeri akan berusaha membantu setakat yang boleh 
    bagi mengurangkan beban yang dihadapi pemaju terbabit. Katanya, jika pemaju 
    itu masih gagal meneruskan pembinaan, kerajaan negeri akan menimbangkan 
    untuk menyerahkan projek berkenaan kepada pemaju lain.  |