This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Pemaju gagal siap projek ditegur

09/04/2001 Berita Harian

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, menegur sikap sesetengah pemaju kerana gagal menyiapkan projek kerajaan dalam tempoh yang ditetapkan.


Timbalan Perdana Menteri berkata, keadaan itu bukan sahaja menimbulkan pelbagai masalah kepada kerajaan, malah pihak yang akan mendapat faedah daripada projek itu.


Beliau memberi contoh kelewatan pemaju menyiapkan projek perumahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Desa Aman Fasa Satu di Pantai Dalam dekat sini, menyebabkan 360 anggota polis terpaksa menunggu lebih dua tahun sebelum dapat menduduki rumah berkenaan.


“Sebab itu saya rasa orang macam ini (pemaju yang menyebabkan projeknya terbengkalai) patut diambil tindakan kerana kecuaian dalam melaksanakan tanggungjawab yang diberi kerajaan,” katanya selepas merasmikan perumahan PDRM Desa Aman fasa pertama di Pantai Dalam di sini, petang ini.


Projek pembinaan 360 unit pangsapuri 12 tingkat untuk pegawai polis berpangkat inspector itu, pada mulanya dilaksanakan oleh Langkah Bakti Sdn Bhd (LBSB) selepas menandatangani kontrak dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 12 Jun 1995.


Bagaimanapun, projek bernilai kira-kira RM34 juta itu tidak dapat disiapkan dan terbengkalai sejak 1997.


Pada Ogos 1997, Amona Permodalan Sdn Bhd (APH), syarikat induk Kumpulan Amona mengambil alih LBSB. Pengambilan saham majority dalam LBSB adalah untuk menghidupkan dan menyiapkan projek fasa pertama yang terbengkalai.


Projek fasa pertama pangsapuri kos sederhana itu, hanya disiapkan dan mendapat Sijil Kelayakan Menduduki (CF) pada 8 Ogos tahun lalu.


Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, Datuk Shahrizat Abdul Jalil; Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai; Timbalannya, Datuk Jamil Johari; Ketua Setiausaha KDN, Datuk Aseh Che Mat dan Pengerusi Kumpulan Amona, Datuk Mohd Noor Yusof.


Pada majlis sama, Shahrizat menyerahkan replica kunci kepada wakil 60 pemilik tanah yang terbabit dalam projek perumahan anggota polis itu.


Mengulas tindakan syarikat besar bukan Melayu, termasuk yang disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) bersaing dengan syarikat milik Bumiputera untuk mendapatkan projek kerajaan, Abdullah berkata keadaan itu berlaku di mana-mana apabila peluang yang ada semakin berkurangan.


Bagaimanapun, katanya, kerajaan tidak dapat menghalang keadaan itu daripada berlaku.


“Yang pentingnya saya percaya kepada pihak yang akan buat penentuan.


Jika setakat kerja kecil, kalau syarikat kecil boleh buat, takkan dia akan dihalang daripada mengambil projek seperti itu hanya kerana nak bagi syarikat besar… tak semestinya begitu.


“Jangan menganggap bila nampak saja syarikat besar masuk dialah yang akan sapu… tak begitu,” katanya.


Dalam perkembangan lain, Abdullah berkata, PDRM sedang menyiapkan laporan terperinci mengenai kejadian pergaduhan di Kampung Medan dan sekitar Jalan Klang Lama bulan lalu.


Beliau berkata, laporan itu sudah datang kepada saya melalui pegawai polis di Bukit Aman.


“Saya rasa adalah bagus jika laporan itu dapat disiapkan lebih awal. Bagaimanapun, kita perlu mengkaji laporan itu terlebih dulu dan memahaminya untuk mengetahui apa sebenarnya yang berlaku dan pada masa sama kita dapat mengelak kejadian itu berulang,” katanya.


Pergaduhan membabitkan dua kumpulan di Kampung Medan bulan lalu menyebabkan enam orang terbunuh. Berikutan kejadian itu, polis menahan hampir 200 orang untuk disoal siasat.


Abdullah yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, laporan yang sedang disiapkan itu boleh menjadi asas kepada polis dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mengadakan bedah siasat bagi mengesan kelemahan dan kekurangan dalam beberapa perkara, termasuk mengendalikan perhubungan awam, media dan masyarakat.


Beliau berkata, pihak berkuasa juga ingin mengetahui bagaimana khabar angin mengenai kejadian pergaduhan itu boleh merebak dengan cepat, kesannya dan bagaimana untuk mengawalnya pada masa depan.


Abdullah bagaimanapun, tidak pasti bila laporan itu akan diumumkan.


Mengenai tindakan sekumpulan nelayan Indonesia mengancam menyerbu bangunan Konsulat Malaysia, di Jalan Diponegoro, Medan, Abdullah berkata, menjadi tanggungjawab Kerajaan Indonesia memastikan keselamatan kedutaan asing.


“Kita juga ada tanggungjawab yang sama. Saya harap duta atau pegawai kedutaan kita akan melaporkan perkara ini kepada Kerajaan Indonesia,” katanya.


Nelayan terbabit berkumpul dan mengancam untuk menyerbu bangunan Konsulat Malaysia bagi membolehkan 39 nelayan dari republik itu yang masih ditahan pihak berkuasa di Langkawi, dibebaskan.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.