This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Akta baru kaji denda lebih tinggi terhadap pemaju gagal
Berita Harian 14/02/2001

Akta baru sedang digubal bagi membolehkan denda lebih tinggi akan dikenakan terhadap pemaju perumahan yang gagal menyambung semula projek terbengkalai masing-masing, kata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Senator Datuk M Kayveas.

Beliau berkata, kementerian sudah mengemukakan satu cadangan akta baru berhubung perkara itu yang kini sedang dikaji pejabat Peguam Negara sebelum dibentangkan kepada Dewan Rakyat untuk kelulusan.

“Saya bersetuju dengan kenyataan bahawa pemaju yang gagal menyambung semula projek terbengkalai, perlu didenda,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan yang difaks oleh Berita Harian, hari ini.

Katanya,kerajaan faham semasa kemerosotan ekonomi, berlaku kepincangan sumber kewangan tetapi kini bank menawarkan pelbagai kemudahan perbankan untuk membiayai projek perumahan.

“Jadi saya nampak di mana pemaju menghadapi masalah. Kerajan memandang serius mengenai perkara ini kerana ia membabitkan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Semalam, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dipetik sebagai berkata, pemaju yang gagal menyambung semula projek pembinaan mereka yang terbengkalai selepas ekonomi semakin pulih, perlu didenda.

Timbalan Perdanan Menteri mahu pihak berkuasa tempatan (PBT) bertindak lebih tegas dalam menguatkuasakan peraturan dan undang-undang terhadap pemaju terbabit.

Kayveas berkata, pemaju perumahan harus peka dengan nasib pembeli rumah yang terpaksa membelanjakan simpanan begitu banyak untuk membeli kediaman idaman masing-masing.

Beliau berkata, semua projek yang terbengkalai harus disambung semula dengan segera kerana pembeli berkenaan dibebani bayaran balik yang tinggi kepada bank walaupun pemaju gagal menyambung projek perumahan terbabit.

Beliau berkata, kerajaan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap pihak yang cuba megambil kesempatan mengaut keuntungan tanpa menghiraukan nasib rakyat.

Kayveas berkata, alasan tenaga kerja tidak mencukupi juga tidak boleh diterima kerana pihaknya akan meneliti profil kewangan, tenaga kerja dan kemampuan secara keseluruhan sesebuah syarikat pemaju itu sebelum meluluskan sebarang lessen kepada pemaju terbabit.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda), Datuk Eddy Chen Lok Loi berkata, kebanyakan projek perumahan tergendala berpunca daripada kajian pasaran yang lemah.

“Contoh kajian pasaran yang lemah ialah menjalankan pembinaan di kawasan yang rendah permintaannya dan menetapkan harga terlalu tinggi. Tambahan pula, keadaan ekonomi dan pasaran saham Malaysia yang lemah,” katanya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.