This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Putrajaya keluar 4,854 CF
Berita Harian 09/11/2001

KUALA LUMPUR, Khamis - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sudah menerima penjelasan Perbadanan Putrajaya mengenai isu kelewatan pengeluaran Sijil Menduduki Rumah (CF).

Menterinya, Datuk Seri Ong Ka Ting, berkata dalam laporan yang diterima Selasa lalu, Perbadanan Putrajaya menjelaskan daripada 5,295 unit kediaman yang siap dibina, sebanyak 4,854 CF sudah dikeluarkan.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 2,373 unit rumah tidak didiami walaupun CF sudah dikeluarkan," katanya.

Beliau berkata, mengikut laporan itu, hanya 441 rumah yang belum menerima CF kerana pemaju belum mengemukakan permohonan.

"Jadi, kebanyakan rumah sudah menerima CF tetapi pemilik belum menduduki rumah mereka. Ini bermakna, Perbadanan Putrajaya menyatakan kepada kementerian bahawa mereka tidak pernah melambatkan pengeluaran CF," katanya selepas melancarkan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2001 serta Hari Terbuka dan Kualiti Jabatan Perancangan Bandar dan Desa di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad mengarahkan pelbagai pihak bertanggungjawab supaya mempercepatkan pengeluaran CF untuk rumah kediaman di Putrajaya.

Ong berkata, dasar yang diluluskan Majlis Negara Kerajaan Tempatan mewajibkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) mengeluarkan CF kepada pemaju dalam tempoh 14 hari sekiranya semua syarat teknikal dipenuhi.

Katanya, PBT yang tidak memberikan jawapan selepas borang E diterima daripada pemaju, boleh dianggap sudah mengeluarkan CF berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Ong berkata, kerajaan akan meningkatkan usaha mempromosi Kuala Lumpur selaras dengan hasrat menjadikan ibu negara sebagai destinasi pelancongan antarabangsa.

Sehubungan itu, katanya, mesyuarat Kabinet di Langkawi pada 10 Oktober lalu bersetuju menubuhkan jawatankuasa khas, dikenali Jawatankuasa Peringkat Menteri Untuk Promosi Kuala Lumpur yang dipengerusikan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Pandikar Amin Mulia.

Katanya, usaha itu turut membabitkan kementeriannya, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Kementerian Belia dan Sukan.

"Kerajaan hendak menjadikan ibu negara sebagai bandar raya yang mempunyai pelbagai daya tarikan seperti bandar bercahaya dalam taman dan syurga beli-belah.

"Jawatankuasa itu bertindak sebagai badan kerajaan yang akan melaksanakan pelbagai program promosi yang dibantu kementerian terbabit," katanya.

Beliau berkata, kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas itu kerana mendapati daya tarikan di ibu negara kurang mendapat pendedahan di peringkat antarabangsa.

Katanya, perbincangan sudah diadakan antara kementerian terbabit dan pengerusinya sedang merancang bagaimana jawatankuasa itu akan berfungsi.

"Usaha mempromosi itu akan membabitkan kawasan pentadbiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan kawasan berhampiran," katanya

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.