This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

TUNGGU RUMAH SIAP 17 TAHUN
63 PEMBELI KEDIAMAN DI TAMAN SRI AMAN KECEWA
19/01/2001 Harian Metro

Kuala Lumpur: Bagi 63 pembeli rumah di Taman Sri Aman, Kampung Idaman, Pandamaran, Selangor penantian 17 tahun untuk memiliki kediaman sendiri belum tercapai kerana projek perumahan itu masih terbengkalai.

Projek itu yang siap 85 peratus terbengkalai sejak 1997dan beberapa peralatan yang dipasang seperti tangga dan peralatan elektrik hilang kerana dipercayai dicuri.

Pengerusi Jawatankuasa Rumah Terbengkalai Taman Sri Aman, G. Varatharajan, berkata pembeli kecewa kerana kediaman yang ingin dimiliki sehingga kini masih belum dipelorehi lagi.

“Pembeli menderita menunggu rumah selama 17 tahun dan kerugian beribu-ribu ringgit serta perlu menunggu lama kerana projek tidak siap mengikut masa yang dijanjikan. Tiada usaha yang dilakukan bagi memulihkannya.

“Kami semua tertipu kerana perjanjian jual beli tidak mengikut peraturan dan kini terpaksa membayar faedah bank walaupun projek tergendala,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyerahkan memorandum setelah berdialog dengan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Peter Chin. Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha, Datuk Rosli Ibrahim.

Varatharajan berkata, deposit air dan elektrik sudah dibayar tetapi sehingga kini masih belum dipasang.

Menurutnya, sesetengah pembeli yang masih belum menerima surat hak milik terpaksa membayar cukai tanah atas nama pemilik lain.

Beliau berkata, projek itu pada awalnya, dikendalikan sebuah kumpulan persendirian sebelum melantik pemegang amanah K.R. Ramasamy pada 1978.

Varatharajan berkata, pelbagai masalah yang dihadapi selepas pemegang amanah menyerah kepada Teng Kong Enterprise Sdn. Bhd.

“Projek dimulakan pada 1984, tetapi syarikat hanya mengendalikan separuh jalan kerana diistiharkan muflis sebelum menyerahkan kepada Semara Development.

“Syarikat kedua juga tidak menjalankan kerja pembinaan kecuali menjalankan proses menukar hakmilik tanah daripada kumpulan kepada individu dan diambil alih pula Pembinaan Fiba Sdn. Bhd. pada 1991 yang hanya menyiapkan separuh daripada rumah itu.

Katanya, akhirnya, projek itu dikendalikan syarikat Intergrated Land Resources Sdn. Bhd. (ILRSSB) yang menjalankan kerja pembinaan rumah antara 45 hingga 85 peratus.

Menurutnya, pembeli mengalami kerugian kerana sudah menjelaskan bayaran antara RM20,000 hingga RM85,000 tetapi kini kerja pembinaan sudah dihentikan.

Sementara itu, Chin berkata, kementerian bersedia menjadi orang tengah bagi menyelesaikan aduan yang dikemukakan pembeli terbabit.

Katanya, kementerian akan menghantar surat rasmi kepada kontraktor yang dilantik ILRSSB supaya menyelesaikan masalah itu dengan segera.

Katanya, tolak ansur daripada kedua-dua pihak memudahkan penyelesaian diambil.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.