| 
		 CFO: Pemaju perlu dapat 
		pengesahan jabatan teknikal 
		16/10/2001 BH 
		PENGELUARAN Sijil Layak Menduduki (CFO) hanya boleh dibuat 
		sebaik saja pemaju perumahan mendapat pengesahan dari jabatan teknikal, 
		selaras dengan syarat yang ditetapkan di bawah Undang-undang Kecil Bangunan 
		Seragam (UBBL). 
		Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ong Ka 
		Ting, berkata pindaan Seksyen 7h mengikut Rang Undang-Undang Akta Pemaju 
		Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) 1966 (Akta 118), mensyaratkan pemaju 
		memaklumkan kepada pengawal perumahan apabila menyerahkan pemilikan kosong 
		kepada pembeli. 
		"Sebelum pemilikan kosong dibuat, pemaju hendaklah mendapatkan 
		sijil pengesahan arkitek, sokongan dari tujuh jabatan teknikal dan bekalan 
		air serta elektrik sedia ada untuk disambungkan. 
		"Kesemua ini perlu supaya Borang E dapat diserahkan kepada 
		pihak 
		berkuasa tempatan bagi maksud pengeluaran CFO," katanya ketika menggulung 
		perbahasan rang undang-undang berkenaan di Dewan Rakyat, semalam. 
		Ong berkata, pindaan itu bertujuan memastikan hak pembeli 
		terpelihara kerana ada kes membabitkan pemaju perumahan yang mengeluarkan 
		pemilikan kosong dengan hanya menyediakan bekalan air dan elektrik, sebelum 
		bangunan siap sepenuhnya. 
		Sehubungan itu, beliau berkata, jika pemaju mengemukakan 
		Borang E yang lengkap dengan sokongan dari jabatan teknikal, CFO hendaklah 
		dikeluarkan dalam tempoh 14 hari dari tarikh Borang E diterima pihak berkuasa 
		tempatan berkenaan. 
		Mengenai kenaikan deposit projek pembangunan perumahan 
		dari RM100,000 kepada RM200,000, Ong berkata, kerajaan mencadangkan kenaikan 
		itu bagi memastikan hanya syarikat atau individu yang mempunyai kedudukan 
		kewangan kukuh saja diberikan lesen. 
		Bagaimanapun, Ong menegaskan langkah itu bukan bertujuan 
		untuk menyekat industri perumahan berkembang atau menimbulkan kesusahan. 
		Beliau berkata, pelaksanaan wang deposit sebanyak RM200,000 
		boleh dilaksanakan melalui tiga cara iaitu bayaran cek tunai, bayaran secara 
		jaminan bank dan mengemukakan akaun pemaju sebanyak RM200,000 di mana wang 
		itu tidak boleh dikeluarkan melainkan mendapat kebenaran pengawal perumahan 
		 |