This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Pemaju rumah masih 'belum sedar'
28/02/2000 Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 27 Feb. - Biarpun, sektor pembinaan terutama bagi rumah kediaman, baru sahaja menunjukkan pemulihan tetapi masih ada ramai pemaju yang enggan belajar daripada pengalaman mereka.

Peningkatan ekonomi semasa telah menyebabkan mereka 'lupa' kepahitan yang dialami sebelum ini, apatah lagi mereka kelihatan ditenggelamkan oleh keghairahan mengejar keuntungan besar secara buta-tuli terus berlaku semula.

Sikap mereka menyebabkan sasaran pembinaan rumah pelbagai jenis tidak menepati jangkaan dan tidak menghairankan ia membimbangkan kerajaan seperti dibayangkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ong Ka Ting sendiri.

Sikap pemaju perumahan yang tidak bijak menggunakan peluang-peluang yang ada menyebabkan pembinaan rumah kini sama ada berlebihan atau berkurangan tanpa mengikut had jumlah yang ditetapkan.

Bukan sukar untuk dibuktikan. Lihat sahaja unjuran pembangunan perumahan dalam Rancangan Malaysia Ketujuh (RMK-7) selama lima tahun berakhir tahun 2000 ini. Contoh paling jelas ialah jangkaan rumah kos sederhana rendah yang siap hanyalah 71,713 buah atau 20.49 peratus daripada sasaran bagi tempoh lima tahun (1996-2000) iaitu 350,000.

Di sebalik permintaan yang besar bagi rumah-rumah daripada kategori itu, para pemaju lebih bernafsu membina pangsapuri mewah dan banglo.

Pembinaan rumah kos tinggi telah pun melebihi sasaran yang ditetapkan sebanyak 85,000 buah apabila 206,081 dijangka siap berakhir Disember 2000. Perangkaan itu menunjukkan ia telah meningkat lebih dua kali ganda daripada sasarannya.

Rumah kos sederhana yang disasarkan dalam RMK-7 sebanyak 130,000 buah juga telah meningkat hampir dua kali ganda kepada 244,857 yang dijangka siap.

Ketamakan pemaju perumahan yang berselindung di sebalik 'permintaan pasaran' menyebabkan pembinaan rumah kos rendah yang dijangka siap hanya 194,028 buah (97 peratus) berbanding sasaran 200,000 buah.

Ketidaktentuan dalam pelaksanaan menyebabkan secara keseluruhannya, hanya 746,443 buah rumah dijangka disiapkan berbanding sasaran RMK-7 sebanyak 800,000 buah.

Para pemaju perumahan perlu bersikap lebih rasional dan bukan hanya mementingkan atau mengejar keuntungan semata-mata. Keadaan itu sekiranya berterusan akan mengulangi keadaan lambakan penawaran rumah yang akhirnya tanpa pembeli.

Kajian atau tinjauan perlu dilakukan terlebih dahulu dalam menentukan permintaan yang ada dan bukan sekadar membina rumah berkenaan mengikut rasa hati atau keuntungan semata-mata.

Tindakan yang lebih berpusat kepada permintaan sebenar turut menawarkan peluang cerah meraih untung berdasarkan sasaran kasar dengan jumlah pembinaan pelbagai jenis rumah dalam tempoh Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) sebanyak 747,600 buah dalam tempoh 2001 hingga 2005.

Kegagalan para pemaju berbuat demikian sudah tentu menyebabkan mereka menanggung risiko tidak mampu menampung kos pembinaan, apatah lagi dalam mendapat laba yang besar seperti diimpikan. Ini kerana mereka mungkin tidak berjaya menjual rumah 'mahal' yang telah dibina itu.

Pertumbuhan penawaran yang tidak seimbang dalam industri pembinaan hanya akan menjejaskan ekonomi negara dan membantutkan usaha mencapai matlamat Wawasan 2020 yang salah satunya bertujuan mewujudkan kehidupan lebih sempurna kepada rakyat.
 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.