This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

CF tanggungjawab Perbadanan Putrajaya

 05/11/2000 Berita Harian

SHAH ALAM, Ahad - Kelewatan pengeluaran Sijil Layak Menduduki (CF) untuk rumah kediaman di Putrajaya tidak sepatutnya berlaku kerana pembangunan di kawasan itu dimajukan syarikat yang diketuai Presiden Perbadanan Putrajaya sendiri.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting, berkata pembangunan di Putrajaya dimajukan Putrajaya Holdings Sdn Bhd (PHSB), manakala Perbadanan Putrajaya bertindak sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) yang meluluskan pelan bangunan dan pengeluaran CF.

Perbadanan Putrajaya yang ditubuhkan pada 1996, diterajui Tan Sri Azizan Zainul Abidin yang bertindak sebagai Presiden. Azizan juga adalah Presiden PHSB, pemaju keseluruhan projek pembangunan Putrajaya.

"Dalam hal ini, mereka sendiri membina rumah dan mereka sendiri menjadi PBT. Mereka adalah satu keluarga. Sepatutnya mereka boleh menyelesaikan perkara ini secepat mungkin kerana tidak membabitkan orang lain," katanya mengulas isu kelewatan pengeluaran CF di kawasan itu yang dibangkitkan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

Semalam, Dr Mahathir mengarahkan pelbagai pihak bertanggungjawab supaya mempercepatkan pengeluaran CF untuk rumah kediaman di Putrajaya.

Perdana Menteri berkata, memang menghairankan apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberitahu hanya 28 pengundi tinggal di Putrajaya, sedangkan kawasan itu begitu banyak rumah sejak dibuka hampir dua tahun lalu.

Perdana Menteri turut menolak kemungkinan ia adalah satu daripada kerenah birokrasi, tetapi menegaskan pihak bertanggungjawab perlu bertindak pantas dalam meluluskan CF kerana ia membabitkan kemudahan untuk kakitangan pusat pentadbiran negara.

Ong yang ditemui pemberita selepas merasmikan Rumah Bakti Ci Hang dan Pusat Operasi Persatuan Kebajikan Ci Hang Cempaka Selangor di Kampung Subang di sini, hari ini, berkata Perbadanan Putrajaya bertanggungjawab mengeluarkan CF di kawasan itu yang menjadi pusat pentadbiran baru Kerajaan Persekutuan.

Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya akan mendapatkan laporan daripada Perbadanan Putrajaya untuk mendapatkan gambaran sebenar dan mengambil tindakan sewajarnya berhubung perkara berkenaan.

"Kita akan periksa mengapa timbul kelewatan pengeluaran CF seperti yang diumumkan Perdana Menteri sehingga menyulitkan pembeli menghuni di Putrajaya. Mungkin disebabkan Perbadanan Putrajaya sendiri tidak membenarkan mereka (pembeli rumah) masuk atau mempunyai masalah teknikal yang masih perlu dilihat.

"Bagaimanapun, saya ingin menegaskan bahawa ia di bawah bidang kuasa Perbadanan Putrajaya. Oleh itu, kita akan meminta laporan daripada Perbadanan Putrajaya berhubung kelewatan pengeluaran CF, esok," katanya.

Ong berkata, dasar yang diluluskan Majlis Negara Kerajaan Tempatan mewajibkan semua PBT mengeluarkan CF kepada pemaju dalam tempoh 14 hari sekiranya semua syarat teknikal dipenuhi.

Katanya, PBT yang tidak memberikan jawapan selepas borang E diterima daripada pemaju, boleh dianggap sudah mengeluarkan CF berkenaan.

"Saya difahamkan semua kerajaan negeri menerima peraturan ini dan tidak nampak mengapa PBT perlu melewatkan pengeluaran CF. Mana-mana PBT yang tidak mengikuti dasar ini boleh diambil tindakan," katanya.

Ong berkata, CF adalah sijil jaminan keselamatan bagi sesuatu bangunan untuk layak diduduki pembeli.

"Kalau salah satu syarat teknikal itu tak dipenuhi, mungkin membahayakan penghuni dan kerajaan akan dipersalahkan. Bagaimanapun, kita tak mahu syarat itu terlalu ketat atau longgar sehingga menimbulkan masalah kepada pembeli. Oleh itu, perlu ada penyelesaian yang praktikal," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda), Datuk Eddy Chen Lok Loi, berkata masalah kelewatan pengeluaran CF di Putrajaya turut dihadapi pemaju di kawasan lain.

Beliau yang dihubungi di sini, berkata kelewatan itu berlaku kerana membabitkan banyak pihak termasuk Jabatan Kerja Raya, Jabatan Bekalan Air, Jabatan Perkhidmatan Pembetungan, Jabatan Pengairan dan Saliran, Telekom Malaysia Berhad, Tenaga Nasional Berhad, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Kesihatan.

Katanya, mengikut kebiasaan terdapat tujuh hingga 12 badan yang bertindak dan bertanggungjawab meluluskan CF sesuatu kawasan perumahan.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.