This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

PLAZA PEKELILING MANAGEMENT CORPORATION V. IGB CORPORATION BERHAD & 1 ORS

MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KUALA LUMPUR

DATO' AZMEL BIN HJ. MAAMOR

SAMAN PEMULA NO: S6-24-640-2000

11 JANUARY 2001

DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KUALA LUMPUR

(BAHAGIAN SIVIL)

SAMAN PEMULA NO: S6-24-640-2000

Dalam perkara Seksyen 39, 41, 42, 43, 44 dan 64 Akta Hakmilik Strata 1985

Dan

Dalam Perkara Seksyen 41 Akta Relif Spesifik (1976)

Dan

Dalam Perkara Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980

ANTARA

PLAZA PEKELILING MANAGEMENT CORPORATION

..... PLAINTIF

DAN

IGB CORPORATION BERHAD

..... DEFENDAN PERTAMA

GLOBAL CARRIERS PROPERTY SDN. BHD.

DEFENDAN KEDUA

GROUNDS OF JUDGMENT

Tuntutan Plaintif terhadap Defendan-Defendan didalam kes ini adalah seperti berikut :-

1) Satu Deklarasi bahawa plaintif adalah Management Corporation yang sah yang ditubuhkan dibawah Akta Hakmilik Strata 1985 bagi blok A, B, C dan D (Low Rise 4 Storey) dan F (High Rise 17 Storey) di Jalan Tun Razak Kuala Lumpur (Geran 6851 Lot 644 Seksyen 47 Kuala Lumpur).

2) Satu Deklarasi bahawa plaintif adalah berkuasa dan bertanggungjawab untuk pengurusan seluruh kompleks yang dikenali sebagai Plaza Pekeliling termasuk bagi blok A, B, C dan D (Low Rise 4Y2 Storey) dan F (High Rise 17 Floor) di Jalan Tun Razak Kuala Lumpur (Geran 6851 Lot 644 Seksyen 47 Kuala Lumpur).

3) Defendan pertama menyerahkan akaun-akaun yang lengkap bagi kompleks yang dikenali sebagai Plaza Pekeliling termasuk bagi blok A, B, C dan D (Low Rise 4 Storey) dan F (High Rise 17 Storey) di Jalan Tun Razak Kuala Lumpur (Geran 6851 Lot 644 Seksyen 47 Kuala Lumpur) sehingga tarikh penyerahan kompleks tersebut kepada plaintif.

4) Defendan pertama menyerahkan kepada plaintif dokumen-dokumen berikut :-

(a) Pelan struktur.

(b) Pelan Mekanikal dan Elektrikal.

(c) Segala kontrak-kontrak yang ditandatangani oleh defendan pertama dengan pihak-pihak lain berkenaan dengan pengurusan kompleks tersebut.

(d) Segala dokumen-dokumen lain dalam simpanan defendan pertama berkenaan dengan pengurusan kompleks tersebut.

5) Defendan kedua menyerahkan kepada plaintif semua dokumen-dokumen dalam simpanan defendan kedua yang berkaitan dengan pengurusan kompleks tersebut.

6) Defendan kedua menyerahkan kepada plaintif akaun-akaun kutipan wang oleh defendan kedua daripada pihak lain berkenaan dengan pengurusan kompleks berkenaan.

7) Defendan pertama dan kedua membayar plaintif kos tindakan ini.

8) Relif-Relif yang lain dan wajar yang didapati suai manfaat oleh Mahkamah Yang Mulia ini.

Fakta-fakta ringkas kes ini adalah seperti berikut. Defendan Pertama adalah pihak yang telah memajukan sebuah kompleks yang dikenal sebagai Plaza Pekeliling yang terletak di Jalan Tun Abdul Razak Kuala Lumpur. Kompleks ini mengandungi satu bangunan menara dan emplat blok podium. Pada 12hb. Julai 1990 Plaza Pekeliling Management Corporation (Plaintif) telah ditubuhkan mengikut S.39 Akta Hakmilik Strata 1985 untuk mengurus bangunan Plaza Pekeliling itu. Diantara tugas-tugas yang dipikul oleh Plaintif seperti yang tercatit dibawah S.43 Akta Hakmilik Strata 1985 itu ialah "to manage and properly maintain the common property and keep it in a state of good and serviceable repair"untuk seluruh kompleks.

Pada bulan Januari 1997 Defendan Pertama telah menjual sebahagian besar bangunan menara Plaza Pekeliling itu kepada Defendan Kedua. Diatas pembelian sebahagian besar bangunan menara itu (blok F) Defendan Kedua ingin mendapat kuasa untuk mengurus segala bahagian blok F itu.

Ini bererti Plaintif cuma akan mengurus blok podium A, B, C dan D sahaja. Atas permintaan Defendan Kedua ini Plaintif telah menulis kepada Jabatan Tanah dan Galian, Wilayah Persekutuan untuk mendapat kelulusan Jabatan tersebut. Bagaimana pun Jabatan Tanah dan Galian, Wilayah Persekutuan didalam suratnya bertarikh 6 April 1999 telah menjelaskan :-

"Berikutan pengeluaran hakmilik strata itu, kesemua blok-blok bangunan (yang dikendalikan oleh tuan sebagai Block A, B, C, D dan F) adalah diletakkan dibawah pentadbiran Plaza Pekeliling Management Corporation. Dari segi undang-undag Akta Hakmilik Strata 1985, perbadanan pengurusan (Managemement Corporation) ini tidak boleh dipecahkan kepada dua (2) perbadanan pengurusan yang lain. Ini disebabkan kesemua blok-blok bangunan yang telah dikeluarkan hakmilik itu adalah terletak didalam satu (1) lot tanah sahaja iaitu Geran 6851 Lot 644 Seksyen 47 Bandar Kuala Lumpur."

Diatas penjelasan yang diberi oleh Jabatan Tanah dan Galian, Wilayah Persekutuan itu Plaintif tidak dapat menyetujui permintaan Defendan Kedua untuk beliau menjalankan pengurusan bangunan menara itu. Akan tetapi Defendan Kedua enggan memberi pengiktirafkan kepada Plaintif sebagai badan yang menguruskan bangunan menara itu. Diatas keadaan begitulah maka Plaintif membuat permohonan ini kepada Mahkamah.

Isu pertama yang dibangkitkan didalam permohonan ini ialah samada Plaintif, Plaza Pekeliling Management Corporation, yang ditubuhkan dibawah S.39 Akta Hakmilik Strata 1985 adalah badan yang sah untuk menjalankan pengurusan bagi Blok A, B, C dan D (blok podium) dan juga Blok F (bangunan menara). Berkenaan dengan isu ini saya berpendapat Plaintiflah badan yang sah untuk mengurus keseluruhan kompleks Plaza Pekeliling itu termasuk blok podium dan bangunan menara. Perkara ini telah diputuskan dengan jelasnya oleh Pejabat Tanah dan Galian, Wilayah Persekutuan melalui suratnya yang bertarikh 6 April 1999. Pengurusan bangunan kompleks seperti Plaza Pekeliling ini tertakluk kepada peruntukan Akta Hakmilik Strata 1985. Akta ini dengan jelas memerlukan penubuhan satu badan pengurusan dibawah S.39 Akta tersebut. Badan pengurusan yang telah ditubuhkan untuk mengendalikan pengurusan Kompleks Plaza Pekeliling itu mengikut Akta tersebut ialah Plaza Pekeliling Management Corporation iaitu Plaintif. Sebaliknya Defendan Kedua tidak langsung ditubuhkan untuk tujuan S.39 Akta tersebut. Atas alasan ini sahaja Defendan Kedua tidak layak mengurus mana-mana bahagian Kompleks Plaza Pekeliling itu. Tambahan pula S.39 Akta tersebut tidak memberi kuasa untuk penubuhan lebih dari satu badan pengurusan bagi satu bangunan. Plaintif telah ditubuhkan pada tahun 1990. Sejak dari tarikh itu Plaintif tidak pernah dimansuhkan atau tanggungjawabnya dibawah S.43 Akta tersebut dipinda atau dikurangkan. Sebaliknya pula Defendan Kedua cuma wujud dalam tahun 1997 pada waktu Defendan Kedua membeli sebahagian besar bangunan menara itu dari Defendan Pertama. Alasan bagi Defendan Kedua untuk diberi kuasa mengurus bangunan menara itu adalah semata-mata kerana beliau adalah pembeli terbanyak bangunan menara itu. Saya berpendapat bahawa alasan ini tidak mempunyai merit langusng kerana penubuhan badan pengurusan ini hanya menjadi sah jika is diwujudkan mengikut S.39 Akta Hakmilik Strata 1985. Diatas sebab-sebab yang saya nyatakan diatas saya memutuskan bahawa Defendan Kedua tidak berhak langsung untuk mengurus mana-mana bahagian Kompleks Plaza Pekeliling itu. Badan pengurusan yang sah untuk mengurus bagi keseluruhan Kompleks Plaza Pekeliling itu ialah Plaza Pekeliling Management Corporation iaitu Plaintif kerana Plaintif telah ditubuhkan mengikut S.39 Akta Hakmilik Strata 1985 untuk tujuan tersebut. Dan tidak ada peruntukan didalam Akta tersebut untuk membahagikan tugas-tugas badan tersebut dengan satu badan yang lain.

Memandangkan Plaintif adalah badan pengurusan yang sah untuk mengurus semua bahagian Kompleks Plaza Pekeliling itu Defendan Pertama adalah dipertanggung jawabkan untuk menyerahkan akaun-akaun yang lengkap kepada Plaintif. Ini perlu dilakukan demi untuk mempastikan Plaintif berupaya melaksanakan pengurusan dan pentadbiran kompleks tersebut dengan licin dan sempurna. Atas alasan yang sama Defendan Pertama juga bertanggungjawab untuk menyerahkan kepada Plaintif segala dokumen-dokumen seperti pelan struktur, pelan mekanikal dan elektrikal dan segala kontrak-kontrak yang clitandatangani oleh Defendan Pertama dengan pihak yang lain berkenaan Kompleks Plaza Pekeliling. Seterusnya, memandangkan Defendan Kedua juga adalah pembeli sebahagian besar bangunan menara yang terkandung didalam Kompleks Plaza Pekeliling, maka adalah menjadi tanggungjawab Defendan Kedua untuk menyerahkan segala dokumen-dokumen dalam simpanannya yang berkaitan dengan pengurusan Plaza Pekeliling termasuk akaun-akaun kutipan wang oleh Defendan Kedua daripada pihak lain berkaitan dengan pengurusan Kompleks Plaza Pekeliling. Seperti yang telah saya jelaskan Defendan Kedua tidak ada hak langsung untuk mengerjakan pengurusan bangunan menara itu oleh kerana pihak yang sah untuk menjalankannya hanyalah Plaintif. Oleh itu semua dokumen yang berada didalam simpanan Defendan Kedua berkaitan dengan pengurusan bangunan menara tersebut hendaklah diserahkan kepada Plaintif demi untuk mebolehkan Plaintif menjalankan pengurusan terhadap keseluruhan Kompleks Plaza Pekeliling itu.

Saya juga memerintahkan supaya kos tindakan ini ditanggung bersama oleh Defendan Pertama dan Defendan Kedua.

Bertarikh 11 hb. Januari 2001.

(DATO' AZMEL BIN HJ. MAAMOR)

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.